Konsert Legasi P. Ramlee, Sebuah Penghormatan Epik Merentas Zaman
- Nurul Safiah
- Jun 20
- 2 min read

Satu malam yang dijangka mencipta sejarah bakal menghiasi industri hiburan tanah air apabila Konsert Legasi P. Ramlee diumumkan secara rasmi oleh Tanahair Films Sdn. Bhd., syarikat yang diterajui Dato’ Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie.
Konsert mega ini dijadual berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025 bertempat di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza.
Acara yang dilancarkan dalam satu sidang media di Kompleks Studio Merdeka, FINAS ini membawa misi besar, mengangkat kembali keagungan seni Tan Sri P. Ramlee dalam satu produksi berskala tinggi yang digarap secara teatrikal, dramatik dan sinematik.
Ia turut menjadi sebahagian daripada inisiatif ‘Projek Perdana P. Ramlee’, susulan kejayaan Legasi Podcast yang dilancarkan pada 2024.
Malam konsert dijangka bergema dengan irama tak lapuk dek zaman, apabila lebih 30 karya agung P. Ramlee bakal dihidupkan kembali oleh gabungan empat maestro muzik negara iaitu Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen bersama iringan 60 pemuzik orkestra.
Barisan artis yang bakal memeriahkan pentas juga bukan calang-calang, antaranya Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, MimiFly, Nadeera dan Liza Hanim antara nama besar yang akan memberi penghormatan kepada Seniman Agung dengan gaya dan vokal tersendiri.
Sebagai pelengkap, persembahan istimewa daripada P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee, tiga impersonator P. Ramlee paling ikonik di Malaysia dijangka menjadi antara detik paling menyentuh hati, menghidupkan kembali persona dan aura lagenda agung tersebut.
Pengarah artistik konsert, Adlin Aman Ramlie, menyifatkan projek ini sebagai peluang untuk menghidupkan kembali roh seni P. Ramlee dalam bentuk yang lebih relevan buat generasi masa kini.
“Konsert ini bakal membangkitkan semula roh seni Tan Sri P. Ramlee yang akan meresap bukan hanya dalam melodi, tetapi juga dalam setiap babak yang menyentuh emosi, kekaguman selain mengimbau kenangan,” katanya.
Tiket akan mula dijual pada 27 Jun 2025 melalui platform www.ticket2u.com.my. Dapatkan sekarang!

Comments