Klepet Bawa Penonton Masuk Dunia Kecoh Tiga Sahabat
- Atiqah Halim

- 2 days ago
- 2 min read

Filem aksi komedi tempatan kembali meriah dengan kemunculan Klepet, naskhah terbaharu terbitan Wawa Global Sdn. Bhd. arahan Indra Putra atau Sanji. Walaupun digelar sebagai hiburan ringan, Klepet tampil dengan pendekatan visual serta komedi yang lebih segar dan berlapis, sekali gus meletakkannya dalam kelas tersendiri.

Penceritaan filem ini bermula dengan suasana santai. Tiga sahabat, Paly, Jany dan Wady, memulakan perjalanan menggunakan motorhome dengan niat untuk menikmati percutian ringkas. Namun ketenangan mereka berakhir apabila kemunculan seorang gadis misteri dari Ukraine, Lola, mencetuskan siri insiden yang mengubah keseluruhan perjalanan mereka menjadi tragedi penuh kekalutan.

Menurut Indra, kekuatan Klepet terletak pada gaya komedi pelbagai elemen. Filem ini menggabungkan komikal, animasi dan lawak spontan mengikut situasi babak tanpa memaksa, sekaligus memberi pengalaman menonton yang lebih organik dan tidak dijangka. Beliau turut menyifatkan karya ini sebagai percubaan yang membawa nafas baharu kepada genre aksi komedi tempatan.

Barisan pelakon juga menjadi faktor utama yang mengangkat filem ini. Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar menerajui Klepet sebagai trio sahabat yang menjadi tunjang cerita. Filem ini turut diperkuatkan dengan kemunculan nama besar seperti Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, Adlin Aman Ramlie serta pelakon kelahiran Ukraine, Darina Porhun.

Aeril selaku penerbit menegaskan bahawa Klepet bukan sekadar membawa unsur humor semata mata. Filem ini menyelitkan mesej sosial tentang kepekaan, tanggungjawab dan nilai persahabatan yang relevan dengan generasi muda. Katanya, karya ini dibangunkan dengan harapan agar ia menjadi tontonan yang sesuai untuk keluarga namun tetap dekat dengan jiwa penonton muda.
Dengan kos penerbitan RM2.6 juta dan penggambaran penuh di Melaka selama 25 hari, Klepet disempurnakan melalui sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) oleh FINAS. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 November 2025.









Comments