top of page

Kilauan Emas 2025 Kembali Lebih Segar & Inklusif – Bakat Otai Bersinar di Astro Prima

  • kaypohmedia
  • 2 days ago
  • 2 min read

Astro sekali lagi membuktikan komitmennya dalam mencungkil dan mengangkat bakat tempatan menerusi penganjuran semula program realiti nyanyian ikonik, Kilauan Emas 2025. Bermula 16 Ogos 2025, program ini bakal menemui penonton setiap Sabtu, jam 9 malam di saluran Astro Prima (Saluran 105) dan juga boleh distrim menerusi On Demand di Astro GO, sooka dan Ultra/Ulti Box.

ree

Mengangkat tema “Bakat Otai, Semangat Baharu”, musim baharu ini tampil lebih segar dengan beberapa pembaharuan strategik – antaranya penurunan had umur peserta kepada 43 tahun. Langkah ini membolehkan lebih ramai individu dalam kalangan generasi otai tampil menyerlahkan potensi mereka.


Selain perubahan kriteria umur, Kilauan Emas 2025 juga memperkenalkan format pemarkahan yang lebih demokratik. Sebanyak 70% markah ditentukan oleh barisan juri profesional, 20% oleh juri awam yang terdiri daripada wartawan dan pelanggan setia Astro, dan 10% lagi daripada undian penonton secara dalam talian di laman web Astro Gempak.

ree

Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Prima, pembaharuan ini menjadikan Kilauan Emas bukan sekadar program hiburan semata-mata, malah satu wadah memperkasa semangat seni generasi terdahulu yang masih punya jiwa muda.


Musim kali ini menampilkan 12 peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun, iaitu Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay. Masing-masing hadir dengan latar belakang unik serta semangat luar biasa dalam mengejar impian seni yang pernah tertangguh.

ree

Menariknya, sesi uji bakat yang telah berlangsung di Miri, Johor dan Shah Alam menyaksikan penyertaan lebih 500 peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk yang memiliki bakat tambahan dalam tarian dan lakonan, sekali gus menjadikan pentas Kilauan Emas semakin berwarna-warni.

ree

Kali ini, Kilauan Emas 2025 dikemudikan oleh Elly Mazlein yang sinonim dengan gaya pengacaraan bersahaja dan mencuit hati. Beliau turut dibantu Joey Daud selaku hos belakang pentas dan pemandu program Diari Kilauan Emas.


Manakala kerusi juri pula dihiasi dengan nama-nama besar Erra Fazira kekal sebagai juri tetap, disertai Roy Azman dan penyanyi bersuara lunak, Ning Baizura yang tampil sebagai juri baharu.

ree

Tidak ketinggalan, Zarul Husin tampil sebagai hos rancangan tambahan "Spotlight" yang bersiaran setiap Sabtu jam 11.30 malam selepas konsert utama, membawakan info dan reaksi eksklusif peserta. Keanu Azman dan Sarah Karmila pula memeriahkan segmen Live+.

Commentaires


bottom of page