top of page

Kerinduan Terubat, EXO Dan EXO-L Bersatu Semula Di Bukit Jalil Selepas 7 Tahun

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

Selepas enam tahun menanti, kerinduan peminat akhirnya terubat apabila EXO kembali ke Kuala Lumpur menerusi jelajah dunia EXO PLANET #6 – EXhOrizon yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. Ribuan EXO-L membanjiri stadium seawal petang bagi menyaksikan kemunculan semula kumpulan K-pop popular itu selepas kali terakhir mengadakan konsert di Malaysia pada tahun 2019.


Tepat jam 8 malam, sorakan gemuruh memenuhi stadium sebaik sahaja lima anggota EXO muncul di pentas. Walaupun kini tampil dengan formasi yang lebih kecil berbanding sebelum ini, sokongan yang diterima jelas membuktikan populariti mereka masih utuh dalam kalangan peminat tempatan dan serantau.


Sepanjang hampir dua jam persembahan, EXO menghiburkan peminat dengan deretan lagu hit seperti Growl, Monster, Ko Ko Bop, Tempo, Love Shot, Don’t Go, Baby Don’t Cry dan Love Me Right. Selain lagu-lagu kegemaran ramai, mereka turut mempersembahkan beberapa karya daripada album terbaru REVERXE termasuk Crown.


Salah satu momen paling menarik sepanjang konsert adalah suasana di dalam stadium yang berubah mengikut warna lightstick EXO-L untuk setiap lagu yang dipersembahkan. Pemandangan lautan cahaya yang memenuhi ruang stadium bukan sahaja mencipta suasana yang meriah, malah menjadi antara detik yang paling dikongsi peminat di media sosial.


Walaupun cuaca agak panas, semangat peminat langsung tidak luntur. Malah, konsert ini turut menarik kehadiran peminat dari Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam yang sanggup terbang ke Kuala Lumpur demi menyaksikan EXO beraksi secara langsung.



Jelajah EXhOrizon membawa maksud "horizon" atau ufuk, simbol kepada permulaan baharu buat EXO selepas melalui pelbagai perubahan sepanjang perjalanan karier mereka. Kuala Lumpur menjadi antara destinasi penting dalam siri jelajah Asia kali ini selepas Seoul.


Bagi EXO-L, malam di Bukit Jalil ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu pertemuan semula yang telah lama dinantikan. Berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima, satu perkara jelas terbukti aura EXO masih kuat dan sokongan peminat terhadap mereka kekal tidak berubah walaupun selepas lebih sedekad dalam industri muzik.

Comments


bottom of page