Keramat Gunung Jerai Tampil Kisah Ritual Terlarang Yang Mengubah Segalanya
- Tasnim Ahmad
- 8 minutes ago
- 2 min read
Kalau sebut tentang filem seram tempatan, memang ramai yang suka jalan cerita penuh misteri dan elemen mistik. Keramat Gunung Jerai hadir dengan gabungan seram psikologi, unsur supernatural dan konflik persahabatan yang membuatkan penonton tertanya-tanya, sejauh mana seseorang sanggup melanggar pantang larang demi mengejar kejayaan?

Bermula 8 Julai 2026, filem ini boleh ditonton secara eksklusif di platform Tonton. Menariknya, Keramat Gunung Jerai turut mencipta sejarah sebagai Tonton Originals pertama yang ditawarkan menerusi model Transactional Video on Demand (TVOD), di mana penonton boleh menonton filem ini secara Pay-Per-View (PPV) pada harga RM12.
Diarahkan oleh Luqman Hafidz menerusi filem sulung arahannya dan diterbitkan oleh Lumatic Films, naskhah ini dibintangi barisan pelakon seperti Niezam Zaidi, Cristina Suzanne, Iedil Dzuhrie Alaudin, Akmal Asyraf, Sara Ali serta Kis Aisha.
Jalan ceritanya bermula apabila tiga sahabat karib iaitu Hakim, Junaidi dan Wan mendaki Gunung Jerai untuk melakukan satu ritual yang dipercayai mampu memakbulkan setiap keinginan. Pada mulanya, kehidupan mereka berubah menjadi lebih baik apabila kejayaan datang tanpa diduga, seolah-olah ada kuasa ghaib yang membantu setiap impian menjadi kenyataan.
Namun, setiap nikmat yang diperoleh hadir dengan harga yang mahal. Gangguan mistik mula menghantui kehidupan mereka, sementara Wan pula hilang tanpa sebarang khabar. Beberapa tahun kemudian, keadaan menjadi semakin genting apabila Laila, anak perempuan Hakim, diserang penyakit misteri yang langsung tidak dapat dijelaskan secara logik.
Dalam usaha menyelamatkan anaknya, Hakim kembali ke Gunung Jerai bersama Junaidi untuk mencari jawapan terhadap ritual yang pernah mereka lakukan suatu ketika dahulu. Pencarian itu akhirnya membuka satu demi satu rahsia lama yang selama ini tersembunyi, termasuk kaitannya dengan Najiha dan Mek La.
Apa yang menarik tentang Keramat Gunung Jerai bukan sekadar elemen seramnya. Filem ini turut mengangkat tema penyesalan, rasa bersalah dan akibat daripada pilihan yang dibuat pada masa lalu. Ia menjadikan jalan ceritanya lebih dekat dengan emosi penonton, selain menyelitkan persoalan sama ada setiap impian benar-benar berbaloi jika perlu dibayar dengan pengorbanan yang besar.
Bagi peminat filem seram tempatan yang gemarkan kisah penuh misteri, ritual terlarang dan plot yang perlahan-lahan membongkar rahsia, naskhah ini antara yang boleh dimasukkan dalam senarai tontonan bulan Julai.
Sama ada sumpahan itu berjaya dipatahkan atau segala-galanya sudah terlambat untuk diperbetulkan, jawapannya hanya akan terungkai apabila Keramat Gunung Jerai mula ditayangkan di Tonton bermula 8 Julai 2026.









Comments