top of page

Kata Hati Papar Kisah Cinta Selebriti & Pemandu E-Hailing

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 11 minutes ago
  • 2 min read

Dah lama rasanya penonton Malaysia tak dapat naskhah romantik komedi tempatan yang ringan tapi tetap ada ‘feel’. Disebabkan itu, kemunculan filem Kata Hati nampaknya boleh jadi antara filem yang ramai akan tunggu tahun depan. Lebih menarik, filem ini tampil dengan kisah cinta antara seorang pelakon wanita popular dan pemandu e-hailing. Ianya sesuatu yang nampak simple, tapi dekat dengan realiti kehidupan sekarang.


Filem Kata Hati terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn Bhd. ini diarahkan oleh Nadiah Hamzah yang sebelum ini dikenali menerusi filem Motif. Kali ini, Nadiah tampil dengan mood yang lebih santai dan emosional, sesuai untuk penonton yang rindukan cerita cinta moden dengan elemen humor dan drama kehidupan.


Menurut penerbitnya, Muhammad Bahir, idea Kata Hati datang daripada pengalaman mereka sendiri dalam industri hiburan. Katanya, ramai selebriti sebenarnya berbeza daripada persona yang dipaparkan di depan kamera. Jadi, filem ini cuba membawa penonton melihat sisi sebenar kehidupan seorang selebriti, bukan sekadar dunia glamor semata-mata.


Menjadi tunjang utama filem ini ialah trio pelakon muda iaitu Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris. Walaupun masih baru dalam dunia layar lebar, mereka dikatakan dipilih menerusi sesi casting dan berjaya menarik perhatian produksi dengan komitmen serta kesungguhan ketika penggambaran.


Dalam masa sama, filem ini turut diperkuatkan dengan kehadiran nama-nama popular seperti Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman. Yang paling ‘kaypoh’, ada juga penampilan cameo beberapa selebriti terkenal termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon.


Kalau tengok trend sekarang, memang banyak filem tempatan tertumpu pada genre aksi dan seram. Jadi, Kata Hati hadir tepat pada masanya untuk penonton yang rindu cerita cinta moden yang santai, kelakar tapi tetap menyentuh emosi. Penerbit eksekutifnya, Juliana Foo, turut menyifatkan filem ini sebagai sebuah “modern fairy tale” dengan elemen percintaan yang penuh cabaran dan emosi.


Menurut Nadiah pula, dia memang sengaja mahu menghasilkan filem yang boleh buat penonton ketawa dan menangis dalam masa sama. Bukan sekadar kisah cinta cliché, tetapi lebih kepada hubungan manusia yang jujur dan dekat dengan kehidupan sebenar.


Penggambaran Kata Hati dijalankan sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan pada Ogos 2025. Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026.


Nampaknya tahun depan, peminat filem romantik komedi tempatan mungkin ada sebab untuk kembali jatuh cinta dekat pawagam.

Comments


bottom of page