Karnival Jom Heboh & Hari Nanas Malaysia Gegar Johor Bahru 27–29 Jun Ini!
- Nurul Safiah
- 23 hours ago
- 2 min read

Kemeriahan berganda bakal melanda selatan tanah air hujung minggu ini apabila Karnival Jom Heboh (KJH) kembali lagi, kali ini dengan sambutan istimewa Hari Nanas Malaysia di Padang B, Pusat Beli-Belah Plaza Angsana, Johor Bahru dari 27 hingga 29 Jun 2025!
Acara padang paling ikonik di Malaysia ini menjanjikan pelbagai aktiviti mesra keluarga, termasuk pertandingan, pameran, demonstrasi dan jualan produk berasaskan nanas, selain percubaan mencipta rekod ‘Most Pineapple Tart Bakes in the Event’ dalam Malaysia Book of Records.
Sebagai sebahagian usaha memperkenalkan nanas sebagai komoditi penting negara, sambutan ini turut menampilkan Seminar Industri Nanas Antarabangsa 2025, pertandingan kupas nanas, rasa buah, serta hadiah-hadiah menarik termasuk nanas percuma kepada pengunjung bertuah.

Tidak ketinggalan, Studio Tonton Drama Sangat membawakan pelbagai pertandingan terbuka seperti nasyid, zapin kreatif, dan Ejen Ali Explorace dengan hadiah terkumpul hampir RM7,000, manakala pengunjung juga berpeluang beramah mesra dengan selebriti kegemaran seperti Faizal Hussein, Liza Abdullah, Didie Alias, Shah Iskandar dan ramai lagi.
Malam anda pula bakal diserikan dengan Konsert Jom Heboh yang menghimpunkan barisan penyanyi hebat termasuk Wany Kayrie, Tuju & Loca B, Jaclyn Victor, Nabila Razali, Sham Visa, Drama Band, Amir UK’s dan ramai lagi bermula jam 9 malam pada 28 & 29 Jun.

Lebih 170 reruai menanti anda di tapak karnival termasuk Kedai Jom Heboh, TikTok Shop, dan Perkampungan Jom Tani.
Jangan lepaskan peluang rebut hadiah eksklusif seperti iPad dan T-Shirt Jom Heboh, sambil menyelusuri promosi hebat pelbagai jenama.
Orang Johor dan seluruh warga Selatan, ini masa anda untuk bersatu dan raikan nanas sebagai kebanggaan negara dalam suasana penuh kemeriahan dan hiburan.
Masukkan tarikh dalam kalendar dan jangan lupa singgah hujung minggu ini di KJH Johor Bahru x Hari Nanas Malaysia!
Comments