Kael Lancar Lagu ‘Angkasa’, Simbol Kepada Cinta Tanpa Batas
- Ain Najihah
- Jul 21
- 1 min read

Penyanyi berbakat dan puitis, Kael, kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single keempatnya berjudul ‘Angkasa’ di bawah label Alternate Records.
Lagu bergenre pop balada moden ini merupakan hasil kolaborasi eksklusif bersama komposer terkenal Omar K dan penerbit muzik serba boleh Iqie Hugh yang menjanjikan satu pengalaman mendalam dan penuh emosi buat para pendengar.
'Angkasa’ bukan sekadar lagu cinta biasa tetapi ia adalah metafora indah tentang dua jiwa yang menyayangi namun terpisah oleh realiti kehidupan.
Ibarat siang dan malam yang tidak pernah bertemu tetapi tetap berkongsi langit yang sama, lagu ini menggambarkan cinta yang tulus setia dan kekal meskipun tidak bersama secara fizikal.
Menurut Omar K, mesej utama lagu ini adalah tentang kepercayaan terhadap cinta yang tulus.
“Jika cinta itu ikhlas dan kuat, mereka tetap bersatu secara emosi dan spiritual di ‘Angkasa’ yang sama,” ujarnya.
Susunan muzik yang minimalis diiringi dengan vokal Kael yang lunak menjadikan lagu ‘Angkasa’ ini memiliki emosi yang mendalam.
Kael juga terlibat sepenuhnya dalam penulisan lirik, gubahan lagu dan menyatakan bahawa lagu ini sangat peribadi dan mencerminkan sisi dirinya yang paling tulen.
“Lagu ini sangat peribadi, ia menonjolkan sisi yang sebenar dan paling tulen. Salah satu cabaran adalah untuk mencari perkataan yang tepat dari dalam hati sendiri dan membentuknya menjadi melodi yang puitis dan bermakna,” katanya.
Beliau menyifatkan ‘Angkasa’ sebagai lagu cinta paling romantis yang pernah dihasilkannya dan lagu ini sesuai untuk dimainkan dalam majlis perkahwinan dan majlis istimewa.
‘Angkasa’ kini boleh distrim di semua platform penstriman digital termasuk Spotify dan YouTube Music.
Lagu ini sesuai untuk semua pencinta yang ingin menyatakan rasa mereka dengan lebih mendalam dan puitis.
תגובות