top of page

KABHI KHUSHI KABHIE GHAM 2 JADI BUALAN, KARAN JOHAR BAKAL HIDUPKAN SEMULA DRAMA KELUARGA IKONIK?

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • Jan 13
  • 2 min read

Nama Kabhi Khushi Kabhie Gham kembali trending dan kali ini bukan sekadar throwback. Filem Bollywood ikonik tahun 2001 itu dikatakan bakal mendapat sekuel dengan judul Kabhi Khushi Kabhie Gham 2, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat filem klasik India.


Menurut laporan industri, pengarah terkenal Karan Johar dikhabarkan sedang membangunkan sebuah filem drama keluarga berskala besar yang diinspirasikan daripada elemen emosi dan kekeluargaan yang menjadikan Kabhi Khushi Kabhie Gham sebagai fenomena global suatu ketika dahulu. Walaupun tajuk rasmi masih belum diumumkan, ramai pihak percaya projek ini bakal menjadi kesinambungan spiritual kepada filem asal yang pernah dibintangi Shah Rukh Khan, Kajol, Hrithik Roshan dan Kareena Kapoor.


Difahamkan, projek ini masih berada di peringkat awal dengan proses pra produksi dijangka bermula sekitar pertengahan 2026, manakala penggambaran pula disasarkan pada hujung tahun yang sama. Jalan cerita dikatakan akan terus mengekalkan teras utama iaitu konflik keluarga, emosi antara generasi serta elemen percintaan, namun dengan pendekatan yang lebih segar dan relevan untuk penonton masa kini.



Menariknya, filem ini dilaporkan bakal menampilkan dua watak lelaki utama dan dua watak wanita utama, namun setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi mengenai barisan pelakon. Ini sekali gus membuka ruang spekulasi dalam kalangan netizen yang sudah mula mencadangkan pelbagai nama bintang generasi baharu Bollywood.


Walaupun hype semakin kuat, ramai peminat setia Kabhi Khushi Kabhie Gham mengambil pendekatan berhati hati. Ada yang teruja melihat legasi filem ini diteruskan, namun tidak kurang juga yang bimbang sekuel ini bakal mencacatkan keunikan dan nostalgia karya asal yang dianggap sukar ditandingi.


Buat masa ini, Karan Johar dan Dharma Productions masih berdiam diri tanpa sebarang kenyataan rasmi. Namun satu perkara yang pasti, sekadar khabar angin ini sudah cukup untuk menghidupkan semula perbualan tentang salah satu filem Bollywood paling ikonik sepanjang zaman.


Sekuel atau sekadar ilham, Kabhi Khushi Kabhie Gham 2 jelas sudah berjaya mencuri perhatian. Tinggal tunggu masa sama ada impian peminat akan jadi realiti atau sekadar hype sementara.



Comments


bottom of page