top of page

‘Juliet’, Single Terbaharu Akim & The Majistret Paparkan Kisah Cinta, Keberanian & Keikhlasan

  • Writer: N
    N
  • 2 days ago
  • 2 min read

Kumpulan rock alternatif popular tanah air, Akim & The Majistret (ATM) kembali mencuri perhatian peminat muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharu mereka berjudul ‘Juliet’, sebuah karya sarat emosi yang mengetengahkan kisah cinta, keberanian dan keikhlasan perasaan.


Selari dengan identiti muzik matang yang terus dipertahankan, ‘Juliet’ tampil sebagai naskhah yang tidak bersandarkan kesempurnaan, sebaliknya meraikan keberanian untuk jujur terhadap perasaan sendiri dalam sesebuah hubungan.

single Juliet Akim & The Majistret

Single ‘Juliet’ merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh anggota Akim & The Majistret, manakala liriknya ditulis oleh Bunga Cantik. Lagu ini mengangkat naratif cinta yang realistik, dekat dengan kehidupan sebenar dan penuh kejujuran emosi.


Menurut vokalis utama ATM, Akim Ahmad, ‘Juliet’ membawa makna yang lebih mendalam berbanding sekadar kisah cinta biasa.

“Bagi saya, ‘Juliet’ adalah mengenai keberanian untuk mencintai dengan jujur walaupun dunia di sekeliling kita sering memaksa kita berpura-pura. Lagu ini dekat dengan realiti mengenai hubungan, keikhlasan dan bagaimana kita mempertahankan perasaan walaupun berdepan dengan cabaran,” katanya.


Tambah Akim lagi, proses rakaman ‘Juliet’ memberikan pengalaman yang berbeza buat beliau dan seluruh anggota kumpulan kerana ia lahir daripada perbincangan mendalam tentang emosi dan pengalaman sebagai manusia, bukan sekadar pemuzik.

“Kami mahu setiap lagu yang dikeluarkan ada jiwa. ‘Juliet’ lahir daripada perbincangan panjang dalam studio mengenai apa yang kami rasa sebagai manusia. Saya harap pendengar boleh merasakan emosi itu bila mereka mendengar lagu ini,” ujarnya.

Pendekatan ini jelas menyerlahkan kematangan Akim & The Majistret dalam menyampaikan karya yang bukan sahaja sedap didengar, malah menyentuh perasaan.

single Juliet Akim & The Majistret

Pelancaran ‘Juliet’ hadir selepas kejayaan besar beberapa single terdahulu Akim & The Majistret di platform digital. Antaranya lagu ‘Potret’ yang mencatat lebih 33 juta tontonan di YouTube dan kekal menjadi lagu wajib dalam setiap persembahan langsung mereka.


Selain itu, single ‘Rampas’ dan ‘Mewangi’ turut menerima sambutan luar biasa apabila masing-masing merekodkan 18 juta dan 14 juta tontonan di YouTube, selain mengungguli carta radio tempatan.


Tidak ketinggalan, single ‘Saksama’ yang dilancarkan pada tahun 2023 berjaya memenangi Anugerah Lagu Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24 serta meraih tempat ketiga Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39.


Kejayaan ini membuktikan keserasian mantap Akim Ahmad bersama barisan pemuzik The Majistret dalam menampilkan muzik relevan dengan generasi masa kini tanpa mengorbankan elemen ‘jiwa’ dan keaslian karya.


Dengan susunan muzik yang kemas, melodi yang kuat serta lirik puitis, ‘Juliet’ dijangka mampu mengulangi kejayaan single terdahulu dan terus menambat hati pendengar, khususnya peminat setia Akim & The Majistret yang sentiasa menantikan kelainan dan kematangan dalam setiap karya terbaharu mereka.


Single ‘Juliet’ terbitan Nova Music Malaysia boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik bermula Jumaat, 9 Januari 2026.Visualizer rasmi lagu ini pula boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama jam 3 petang menerusi pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=t3UKRaFsWpY

Comments


bottom of page