Joy Ngiaw Menang Emmy, Harumkan Nama Malaysia di Pentas Antarabangsa
- Tasnim Ahmad
- Mar 13
- 2 min read
Nama Joy Ngiaw kini menjadi sebutan selepas komposer kelahiran Malaysia itu berjaya memenangi Anugerah Emmy bagi kategori Pengarahan Muzik dan Komposisi Terbaik untuk Program Animasi. Lebih membanggakan, kemenangan itu hadir menerusi hasil kerjanya dalam siri animasi WondLa yang ditayangkan di platform penstriman Apple TV+.

Berita menggembirakan itu dikongsikan sendiri oleh Joy di Instagram selepas berlangsungnya acara Children’s & Family Emmy Awards yang diadakan di Lincoln Center, New York pada 1 dan 2 Mac lalu. Kejayaan ini sekali gus meletakkan nama Malaysia dalam radar industri hiburan global.
Joy yang berasal dari Pahang bukan sekadar membawa pulang trofi berprestij, malah mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang memenangi Anugerah Emmy.
Pencapaian tersebut turut mendapat perhatian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang mengucapkan tahniah menerusi media sosial rasmi mereka. Menurut agensi itu, kejayaan Joy membuktikan bakat kreatif dari Malaysia mampu memberi impak besar di peringkat antarabangsa.
FINAS juga berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi baharu penggiat seni tempatan untuk terus berkarya dan berani mencuba peluang di luar negara.
Namun perjalanan Joy dalam industri muzik dan perfileman antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah. Dalam satu temu bual bersama majalah Grazia, beliau berkongsi cabaran yang pernah dihadapi ketika cuba menempatkan diri dalam industri yang kompetitif seperti Hollywood.
Menurut Joy, ketika membesar, dia jarang melihat komposer yang mempunyai latar belakang seperti dirinya menghasilkan muzik untuk projek besar di Hollywood. Malah, dalam banyak mesyuarat industri, dia sering menjadi satu-satunya wanita atau individu berkulit berwarna di dalam bilik tersebut.
Situasi itu membuatkan Joy perlu bekerja lebih keras untuk membuktikan kemampuannya sebagai komposer profesional.
Ada juga momen yang membuatkan beliau tersenyum sendiri apabila ada yang terkejut selepas mengetahui dirinya adalah komposer sebenar, bukannya pembantu produksi.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pengalaman tersebut menjadi pengingat penting kepada Joy tentang betapa pentingnya perwakilan dan kepelbagaian dalam industri kreatif.

Kini, kemenangan di pentas Emmy bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi buat Joy Ngiaw, tetapi juga satu detik membanggakan buat Malaysia. Siapa sangka, bakat dari Pahang mampu menggegarkan pentas hiburan antarabangsa.



Comments