top of page

“Jasmine Project Love” Musim Kedua Tamat dengan Penuh Emosi, Kutip Hampir RM200,000 untuk Tabung Kemanusiaan

  • Writer: Nurul Safiah
    Nurul Safiah
  • Jun 12
  • 1 min read

Program dokumentari popular “Jasmine Project Love” yang disiarkan di 8TV menutup tirai musim keduanya dengan majlis penghargaan penuh makna yang berlangsung di Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar.

 

Musim ini menyaksikan kutipan hampir RM200,000 menerusi 8TV Project Love Fund, di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP hasil sumbangan orang ramai untuk membantu keluarga-keluarga memerlukan.

 

Program berbahasa Cina itu sekali lagi menyentuh hati penonton dengan memaparkan kisah benar yang mencerminkan ketabahan rakyat Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran kehidupan.

 


Disokong sepenuhnya oleh Jasmine Food bersama rakan penaja Kawan Food, musim ini menampilkan 24 episod yang dihoskan oleh lapan personaliti iaitu Owen Yap, Chan Wei Wei, Desmond Tey, Tan Chia Yong, Ong Ching Yee, Jan Chin, Soh Chin Chuan dan Charlotte Seow.

 

Kini para hos bukan sahaja menjelajah di Lembah Klang, malah ke pelbagai lokasi termasuk Negeri Sembilan, Perak dan Melaka bagi mengetengahkan kisah-kisah yang jarang diberi liputan.

 

Antara yang dipaparkan termasuklah kisah kanak-kanak dengan penyakit jarang jumpa serta keluarga yang bergelut dengan tekanan ekonomi.


 

Sebagai tanda penghargaan, satu sesi penyampaian sijil turut diadakan kepada pertubuhan kebajikan yang terlibat, antaranya Persatuan Penyakit Motor Neuron Malaysia, NASAM, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Suriana Welfare Society Malaysia dan ramai lagi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Puan Nini Yusof menzahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa terhadap program ini.

 

“Semoga program ini terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak sokongan untuk komuniti yang memerlukan,” katanya.

 

Majlis turut dihadiri tetamu kehormat termasuk Pengerusi Kumpulan Media Prima, Yang Berbahagia Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, dan beberapa pengurusan kanan Media Prima, Jasmine Food dan Kawan Food.



 
 
 

Comments


bottom of page