Jaclyn Chia & Yunk G Lancar “Redam” – Balada Penuh Luka dan Harapan
- kaypohmedia
- 9 hours ago
- 2 min read
Industri muzik tempatan sekali lagi menerima suntikan segar dengan pelancaran single duet terbaru berjudul “Redam”, kolaborasi istimewa antara penyanyi bersuara lunak asal Sabah, Jaclyn Chia dan rapper berbakat besar, Yunk G.

Lagu “Redam” tampil sebagai sebuah balada introspektif dengan gabungan elemen akustik dan rap yang membawa pendengar menyelami kedalaman emosi – kisah tentang luka, kehilangan, dan usaha meredam rasa yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
Jaclyn Chia berkongsi,
“Lagu ini sangat sayu & peribadi buat saya. Ia seperti menulis surat kepada diri sendiri yang sedang terluka, tetapi masih cuba untuk terus hidup.”

Sebelum ini, Jaclyn pernah dikenali dengan lagu “Joget Mengikut Rasa” serta kejayaan dinobatkan sebagai Juara RTM Kemuncak Bintang Ai FM 2024. Kini, menerusi “Redam”, beliau menunjukkan sisi berbeza – lebih matang, emosional, dan penuh penghayatan.
Single ini merupakan hasil ciptaan Shaiffulhan Saidin dengan lirik oleh D'Laila, diterbitkan di bawah Zirbad Music Production, manakala Luncai Emas bertindak sebagai pengedar digital. Lagu ini turut direalisasikan dengan sokongan Kementerian Komunikasi Malaysia melalui Dana Kreatif (MyCreative Ventures), sebagai dorongan terhadap karya asli anak tempatan.
Menurut komposer Shaiffulhan:
“Suara indah Jaclyn Chia disatukan dengan rap padu Yunk G membentuk lagu yang menyentuh jiwa dan benar-benar meredam luka.”
Sementara itu, Yunk G atau nama sebenarnya AG Sri Iskandar Bahrin menambah,
“Saya percaya muzik harus bercakap jujur. Dalam ‘Redam’, saya mahu bawa perspektif mereka yang sering menyembunyikan luka kerana takut dilihat lemah.”

Yunk G sebelum ini aktif dalam arena hip hop tempatan dengan pelbagai single, termasuk kolaborasi “Aku Shot” OST filem Adiwira terbitan Ajai.
Video muzik rasmi “Redam” yang kini ditayangkan di YouTube Luncai Emas menampilkan visual puitis penuh simbolisme menggambarkan perjalanan seorang individu melepasi bayangan silam menuju harapan baru.
Bagi peminat muzik tanah air, “Redam” kini boleh didengarkan di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube.
Comments