top of page

Insomniacks dan Yonnyboii Akhirnya ‘Bersuara’, Lagu Paling Jujur Setakat Ini?

  • Writer: N
    N
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Kalau sebelum ini insomniacks sinonim dengan lagu balada yang buat kita termenung, kali ini ceritanya lain sikit. Single terbaharu insomniacks berjudul Bersuara, hasil kolaborasi bersama Yonnyboii, tampil dengan bunyi lebih berat, emosi lebih mentah dan mesej yang straight to the point tentang keberanian untuk bersuara dan mempertahankan harga diri.

Lagu Bersuara bukan sekadar eksperimen muzik, tapi refleksi perasaan yang ramai sebenarnya pernah rasa: tak didengari, tertekan, dan terpaksa simpan semuanya sendiri.


Dari sudut muzik, Bersuara jelas menunjukkan fasa baharu buat insomniacks. Lagu ini membawa elemen rock alternatif yang lebih gritty dan agresif, jauh berbeza daripada karya-karya balada mereka sebelum ini.


Namun emosi yang menjadi kekuatan insomniacks masih kekal cuma kali ini disampaikan dengan lebih lantang dan berani.

Menurut insomniacks, lagu ini lahir daripada pengalaman peribadi apabila suara dan pandangan seseorang seolah-olah diketepikan.


“Lagu ini tentang berdiri untuk diri sendiri, terutama bila berdepan dengan penindasan atau buli.”

Ringkas, tapi kena tepat pada realiti ramai orang hari ini.


Kalau anda ingat Yonnyboii sekadar masuk untuk satu verse rap, anda silap. Dalam Bersuara, Yonnyboii boleh dikatakan nadi utama lagu ini.


Beliau menulis hook dan membawa energi yang mentah, menjadikan keseluruhan lagu lebih hidup dan ‘marah’ dengan cara yang jujur.


“Lagu ni terhasil bila saya rasa saya tak didengari oleh sekelompok orang.”

Menariknya, Yonnyboii turut memperlihatkan sisi vokal yang lebih berteraskan rock dan alternatif, sesuatu yang jarang kita dengar daripada dirinya sebelum ini.

Menurut Yonnyboii sendiri, genre ini sebenarnya lebih dekat dengan jiwanya dan Bersuara menjadi semacam ‘fresh start’ untuk memperkenalkan sisi lain dirinya sebagai artis.


Apa yang buat Bersuara terasa dekat dengan pendengar ialah mesejnya yang sangat relatable. Lagu ini menyentuh isu tekanan emosi, perasaan dipendam, dan keberanian untuk meluahkan apa yang selama ini disimpan.


Bagi Yonnyboii, lagu ini membawa makna peribadi yang mendalam.


“Kalau simpan, sakit dia lagi dalam. Jadi bersuara je.”

Satu ayat ringkas, tapi cukup kuat untuk jadi pengingat.


Dalam dunia yang makin bising dengan pendapat orang lain, Bersuara datang sebagai peringatan penting, suara kita pun ada nilai. Insomniacks dan Yonnyboii juga berharap lagu ini dapat membuka ruang selamat untuk pendengar meluahkan emosi, di samping membawa mesej tegas menentang budaya buli.

Dan ya, mesej “stop bullying” itu disampaikan tanpa perlu terlalu mengajar, cukup dengan kejujuran.


Bersuara mula boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 06 Februari 2026. Sama ada anda peminat lama insomniacks atau nak dengar sisi lain Yonnyboii, lagu ini memang wajar masuk playlist.

Comments


bottom of page