‘Honey Trap’ Angkat Perisik Wanita dalam Dunia Politik
- Nurul Safiah
- Jun 18
- 1 min read

Astro Originals kembali dengan siri premium terbaru berjudul Honey Trap, sebuah thriller politik yang mendebarkan dan mengangkat watak utama seorang perisik wanita hebat.
Siri ini akan mula ditayangkan bermula 20 Jun menerusi platform On Demand dan sooka, serta di Astro Citra dan Astro Ria.
Honey Trap berkembang daripada dunia Kudeta, siri premium yang pernah mencetus fenomena pada 2022 namun kali ini dengan naratif yang berbeza.

Watak utama Surya Gabriel, lakonan Nina KSC, tampil sebagai perisik kalis gentar yang perlu menyeimbangkan misi berisiko tinggi dan dilema emosinya sendiri apabila terjebak dalam hubungan rumit bersama asetnya.
Turut membintangi siri ini ialah Syarul Ezani, Ungku Ismail, Irfan Zaini, Ayez Shaukat Fonseka, Amyza Aznan dan ramai lagi.
Diarah oleh Imran Sheik, Honey Trap mengetengahkan lapan episod utama dan dua episod khas.

Menurut Ketua Astro Shaw merangkap penerbit eksekutif, Raja Jastina Raja Arshad, Honey Trap membawa nafas segar dengan pandangan feminin sebagai tunjang penceritaan.
“Ia bukan sekadar aksi politik, tetapi lebih bersifat peribadi dan mendalam dengan isu psikologi dan isu sosial seperti kesihatan mental di tempat kerja, ketidakseimbangan kuasa dalam organisasi, dan manipulasi yang tersembunyi,” katanya.
Imran Sheik pula menjelaskan ilham Honey Trap datang daripada pengalaman peribadi menjaga ahli keluarga yang menghidap schizophrenia.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan ‘Honey Trap’ bermula 20 Jun ini dan saksikan bagaimana kuasa, tipu muslihat dan emosi berperang dalam satu siri yang penuh ketegangan!

Comments