“Hayya 3: Gaza” – Filem Kemanusiaan Sarat Emosi, 10% Hasil Kutipan Disalurkan Untuk Rakyat Palestin
- N

- 20 hours ago
- 2 min read
Filem sarat mesej kemanusiaan, Hayya 3: Gaza, arahan Jastis Arimba terbitan Warna Pictures dan 786 Productions bakal menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 30 Oktober ini.

Filem ini diedarkan oleh Horizon Film Entertainment dengan kolaborasi bersama Cinta Gaza Malaysia, serta disokong oleh Malaysian Women’s Coalition For Al Quds And Palestine, Friends of Palestine, dan Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM).
Pelakon dan pendakwah terkenal Oki Setiana Dewi kembali ke layar lebar menerusi karya ini yang bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap penderitaan rakyat Gaza.

Menurut Oki, penglibatannya bukan sekadar sebagai pelakon, tetapi juga sebagai sebahagian daripada misi sosial dan kemanusiaan.
“Menerusi filem ini kami, baik yang berada di balik layar maupun di depan kamera, berusaha menghidupkan kembali kesedaran masyarakat terhadap Palestin,” ujar Oki.
Tambahnya lagi, Hayya 3: Gaza bukan sekadar tontonan hiburan, tetapi wadah untuk memahami lebih dalam konflik dan realiti kehidupan rakyat Palestin.
“Dengan menonton Hayya 3: Gaza, penonton akan mendapat gambaran menyeluruh tentang apa yang sebenarnya terjadi di sana,” katanya.
Lebih menarik, filem ini turut berfungsi sebagai saluran bantuan kewangan buat rakyat Gaza. Sebanyak 10% daripada hasil kutipan filem ini akan disumbangkan terus kepada rakyat Palestin.
“Filem ini merupakan bentuk nyata dari aksi kemanusiaan. Menonton bererti ikut bersedekah,” jelas Oki.
Beliau menambah bahawa sokongan terhadap filem ini juga bermakna menyokong perjuangan kemanusiaan yang lebih besar.
Hayya 3: Gaza mengisahkan Abdullah Gaza, seorang anak yatim yang kehilangan bapanya semasa misi sukarelawan di Palestin. Dia kemudian dibesarkan di rumah anak yatim, di mana dia bersahabat rapat dengan Hayya, seorang gadis kecil Palestin. Namun, persahabatan mereka diuji apabila timbul ancaman keselamatan di rumah anak yatim tersebut.
Filem ini turut menampilkan barisan pelakon berbakat seperti:
Amna Shahab sebagai Hayya
Azamy Syauqi sebagai Gaza
Cut Syifa sebagai Rafah Shafira
Oki Setiana Dewi sebagai Ustazah Dewi
Adhin Abdul Halim sebagai Adhin
Fauzi Baadila sebagai Rahmatdan ramai lagi.

Dengan gabungan mesej kemanusiaan, lakonan mantap serta pengisian yang menyentuh jiwa, Hayya 3: Gaza dijangka menjadi antara filem paling berkesan dalam menggerakkan empati penonton terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Hayya 3: Gaza bukan sekadar sebuah filem, ia adalah panggilan hati untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya solidariti dan kemanusiaan. Saksikan di pawagam seluruh Malaysia mulai 30 Oktober ini, dan jadilah sebahagian daripada misi kemanusiaan ini.













Comments