top of page

HAK: Tuntut Atau Tunduk Tampilkan Gandingan Pertama Syafiq Kyle Dan Beto Kusyairy

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Kalau korang peminat filem tempatan yang penuh suspen dan dekat dengan realiti hidup rakyat Malaysia, filem HAK: Tuntut Atau Tunduk mungkin antara yang patut masuk watchlist awal-awal. Filem terbaharu daripada Astro Shaw ini bukan saja tampil dengan elemen aksi dan debaran, tapi turut menyentuh isu survival hidup, tekanan ekonomi dan pilihan sukar bila seseorang berada di hujung jalan.


Apa yang paling menarik perhatian, filem ini juga menjadi kali pertama Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy digandingkan bersama di layar perak. Gabungan dua pelakon dengan aura berbeza ini memang cukup buat ramai curious nak tengok macam mana chemistry mereka nanti.


HAK: Tuntut Atau Tunduk diarahkan oleh Ezrie Gazali yang sebelum ini dikenali menerusi filem Abah Saya Uncle Mike. Manakala skrip pula ditulis oleh Alfie Palermo, nama yang pernah terlibat dalam siri premium One Cent Thief. Jalan cerita asal filem ini datang daripada idea Santharuban Thurai Sundaram.


Selain Syafiq dan Beto, filem ini turut dibarisi nama-nama yang memang biasa muncul dalam naskhah berat dan berkualiti seperti Kodi Rasheed, Mimi Lana, Aziz M Osman dan Dato Fizz Fairuz.


Dari segi jalan cerita, filem ini mengikuti kisah Hakim lakonan Syafiq Kyle, seorang pegawai operasi di pasar awam yang sedang terdesak mencari duit demi menyambut kelahiran anak sulungnya. Dalam keadaan hidup makin menghimpit, dia terjumpa sebuah beg berisi wang yang akhirnya mengubah hidupnya jadi mimpi ngeri.


Daripada seorang lelaki biasa, Hakim tiba-tiba menjadi buruan pihak berbahaya yang sanggup mengancam nyawanya dan keluarga demi mendapatkan semula wang tersebut. Dari situ, bermulalah permainan kejar-mengejar yang penuh tekanan dan konflik moral.


Menariknya, penggambaran filem ini dilakukan di kawasan pasar awam dan komuniti pangsapuri sekitar Lembah Klang. Jadi visual dan suasana yang dipaparkan memang terasa dekat dengan kehidupan harian masyarakat Malaysia. Bukan sekadar aksi kosong, tetapi ada elemen realistik yang buat penonton rasa lebih ‘terkena’.


Menurut pihak produksi, filem ini juga cuba membuka perbualan tentang isu pemilikan ekonomi, peluang perniagaan dan cabaran hidup masyarakat moden hari ini. Dalam bahasa mudah, ini bukan filem aksi biasa-biasa.


Dengan gabungan pelakon berkaliber, jalan cerita yang berat tetapi relatable dan suasana sinematik yang lebih grounded, HAK: Tuntut Atau Tunduk nampaknya ada potensi untuk jadi antara filem tempatan paling dinanti bila ia ditayangkan nanti.


Kalau tengok pada premis dan lineup pelakon pun, memang nampak macam filem yang boleh buat penonton duduk tak senang dalam panggung.

Comments


bottom of page