top of page

Hailey Bieber Jual Jenama Solekan ‘Rhode’ kepada e.l.f. Beauty Dalam Perjanjian Bernilai $1 Bilion

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • May 30
  • 1 min read


Hailey Bieber, model berusia 28 tahun dan isteri kepada penyanyi terkenal Justin Bieber, telah menjual jenama kecantikan miliknya, Rhode, kepada syarikat kosmetik Amerika, e.l.f. Beauty dalam satu perjanjian yang dianggarkan bernilai sehingga $1 bilion (kira-kira RM4.7 bilion).


Rhode, yang dinamakan sempena nama tengah Hailey, merupakan jenama produk penjagaan kulit yang dilancarkan pada tahun 2022

Dalam masa yang singkat, jenama ini meraih populariti luar biasa terutamanya di media sosial dengan produk ikonik seperti pemerah pipi ‘pocket blush’ dan rawatan bibir ‘peptide lip treatment’.


Dalam tempoh 12 bulan sehingga Mac lalu, Rhode mencatatkan jualan bersih melebihi $200 juta dan bakal diperluaskan ke rangkaian gedung terkenal Sephora di Amerika Syarikat dan United Kingdom tahun ini.


Syarikat pembeli, e.l.f. Beauty, bersetuju untuk membayar $800 juta dalam bentuk tunai dan saham dengan tambahan $200 juta bergantung kepada prestasi jualan akan datang.



Perjanjian ini dijangka akan dimuktamadkan hujung tahun ini. Hailey Bieber akan kekal bersama syarikat sebagai Ketua Pegawai Kreatif. 


Dalam kenyataan rasminya, Hailey menyatakan bahawa perjanjian ini membuka lembaran baru buat Rhode.


“Kerjasama kami dengan e.l.f. Beauty adalah peluang luar biasa untuk memperkasa dan mempercepatkan usaha kami untuk menyampaikan produk inovatif kepada lebih ramai komuniti serta memperluaskan pengedaran di peringkat global,” katanya.


Rhode kini menjadi fenomena di TikTok, dengan video viral memperkenalkan produk-produk ikoniknya. Kejayaan Hailey ini turut meletakkannya sebaris dengan selebriti lain yang berjaya membina empayar kecantikan, seperti Rihanna, Kylie Jenner dan Selena Gomez. 

Comentarios


bottom of page