top of page

Good Boys Go To Heaven Buat Rakyat Malaysia Jadi Detektif Cari Pembunuh Ahyan

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 11 minutes ago
  • 2 min read

Kalau anda aktif di media sosial sejak beberapa minggu lalu, mesti pernah ternampak perbincangan tentang Good Boys Go To Heaven. Siri premium tempatan ini bukan sekadar menghiburkan, malah berjaya membuatkan ramai penonton Malaysia bertukar menjadi "detektif segera" demi merungkai misteri siapakah sebenarnya dalang di sebalik pembunuhan Ahyan.


Sejak episod pertamanya ditayangkan pada 8 Mei lalu, Good Boys Go To Heaven terus menjadi topik hangat dalam kalangan peminat drama tempatan. Setiap minggu, pelbagai teori, spekulasi dan analisis muncul di media sosial apabila penonton cuba menyusun petunjuk yang ditinggalkan dalam setiap episod.


Apa yang menarik, siri ini bukan hanya mencetuskan perbualan dalam kalangan peminat drama. Ia turut menjadi fenomena digital apabila ramai berkongsi pandangan, membuat teori tersendiri dan berdebat tentang kemungkinan jalan cerita yang bakal berlaku. Pendek kata, semua orang ada suspek masing-masing.


Fenomena tersebut membuktikan bahawa penonton hari ini mahukan lebih daripada sekadar hiburan biasa. Mereka mahu terlibat sama dalam perjalanan cerita dan Good Boys Go To Heaven berjaya memberikan pengalaman itu melalui penceritaan yang penuh misteri serta elemen psikologi yang kuat.


Prestasi siri ini juga bukan calang-calang. Ia dilaporkan telah meraih lebih 58 juta tontonan dan 9.5 juta capaian di pelbagai platform media sosial. Malah, siri ini turut berada dalam senarai Top 10 Netflix selama enam minggu berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kandungan tempatan paling diperkatakan tahun ini.


Antara faktor yang sering dipuji penonton ialah kekuatan skrip yang diterajui oleh Mira Mustaffa. Ramai menyifatkan jalan ceritanya berbeza daripada kebanyakan drama tempatan yang biasa ditonton, dengan lapisan misteri yang membuatkan penonton sentiasa tertanya-tanya apa yang bakal berlaku seterusnya.


Selain skrip yang mantap, aspek lakonan juga menerima pujian meluas. Episod keenam khususnya mencuri perhatian ramai apabila memaparkan sisi emosi yang berat dan mengganggu. Tiga pelakon kanak-kanak yang membawakan watak Yasser, Bahamin dan Zayd versi muda turut dipuji kerana berjaya menyampaikan emosi secara meyakinkan tanpa kelihatan terlalu dibuat-buat.


Menariknya lagi, pengalaman menonton siri ini tidak terhenti di kaca televisyen atau platform penstriman sahaja. Barisan pelakon seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson dan Sky Iskandar turut aktif berinteraksi dengan peminat di Threads melalui perkongsian yang dibuat dalam karakter masing-masing. Pendekatan ini membuatkan ramai penonton rasa lebih dekat dengan watak-watak dalam siri tersebut.


Di sebalik misteri pembunuhan Ahyan, Good Boys Go To Heaven turut menyentuh isu sosial dan trauma yang memberi kesan emosi kepada penonton. Malah, usaha memperluaskan kesedaran mengenai kesihatan mental turut menjadi antara elemen yang menjadikan siri ini lebih bermakna daripada sekadar sebuah drama misteri biasa.


Bagi yang masih belum mengikuti siri ini, kisahnya berpusat kepada Yasser, seorang bapa yang berdepan mimpi ngeri apabila anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tragis. Dari situlah bermulanya perjalanan penuh misteri, konflik dan emosi yang membuatkan penonton terus melekat di skrin.


Nampaknya, persoalan "Siapa pembunuh Ahyan?" masih menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat. Selagi jawapan sebenar belum terungkai, rakyat Malaysia nampaknya belum bersedia untuk keluar daripada "detective mode" mereka.

Comments


bottom of page