Go Youn Jung Bergandingan Dengan Lee Byung Hun Dalam Filem Aksi Korea Baharu
- Tasnim Ahmad
- 2 hours ago
- 2 min read
Peminat drama Korea pasti kenal dengan wajah Go Youn Jung yang sering mencuri perhatian menerusi lakonan penuh emosi. Kali ini, Go Youn Jung bakal mencabar dirinya dalam genre berbeza apabila menyertai filem aksi sejarah Nambeol (tajuk sementara) bersama pelakon veteran Korea Selatan, Lee Byung Hun.
Filem aksi seni mempertahankan diri ini diarahkan oleh Lee Mo Gae, seorang sinematografer terkenal yang kini membuat debut sebagai pengarah filem cereka. Kehadiran Go Youn Jung dalam projek besar ini sekali gus mencetuskan keterujaan kerana ia merupakan kali pertama dia berkongsi layar bersama Lee Byung Hun.
Mengambil latar zaman Dinasti Joseon awal, Nambeol mengisahkan sekumpulan pahlawan daripada latar belakang berbeza yang menjalankan misi berbahaya ke Pulau Tsushima. Mereka perlu menyelamatkan tawanan yang telah diculik oleh lanun Jepun dalam sebuah perjalanan penuh cabaran.
Walaupun butiran mengenai watak Go Youn Jung masih dirahsiakan, pihak produksi memberi bayangan bahawa wataknya bakal menunjukkan sisi lakonan yang lebih matang dan berbeza daripada karya-karya terdahulunya.
Pelakon yang terkenal dengan kemampuan menyampaikan emosi melalui ekspresi wajah itu dijangka memperlihatkan karakter yang lebih kuat, intens dan penuh aksi menerusi filem ini.
Nambeol turut menjadi perhatian kerana diterbitkan oleh Hive Media Corp, studio yang pernah menghasilkan beberapa filem popular seperti Inside Men, The Man Standing Next, Deliver Us From Evil dan 12.12: The Day. Projek ini juga menyatukan semula Lee Byung Hun bersama studio tersebut selepas kejayaan kerjasama mereka sebelum ini.
Selain barisan pelakon hebat, filem ini turut mempunyai nilai tarikan dari segi visual apabila Lee Mo Gae mengambil alih kerusi pengarah. Beliau sebelum ini dikenali menerusi karya sinematografi dalam filem seperti 12.12: The Day, Exhuma, Hunt, Asura: The City of Madness dan I Saw the Devil.
Kini dalam fasa akhir pra-produksi dan proses pemilihan pelakon, Nambeol dijangka memulakan penggambaran pada separuh kedua tahun 2026.
Bagi Go Youn Jung, filem ini berpotensi menjadi salah satu projek penting dalam perjalanan kerjayanya selepas berjaya membina nama menerusi pelbagai karya televisyen dan filem. Dengan gabungan pelakon berpengalaman, jalan cerita penuh aksi dan pasukan produksi hebat, Nambeol pastinya antara filem Korea yang bakal dinantikan peminat.







Comments