Gantung: Musketeer Code, Kebenaran Bakal Terbongkar di Pawagam
- Ain Najihah
- May 8
- 2 min read
Updated: May 9

Selepas tujuh tahun sejak kemunculan drama bersiri Gantung The Series di kaca televisyen pada tahun 2018, kisah penuh misteri ini kini kembali dalam bentuk filem yang berjudul Gantung: Musketeer Code.
Filem terbitan Neddo Works ini diadaptasi daripada novel Fixi terlaris Gantung karya Nadia Khan yang mengisahkan empat sahabat yang melalui tahun akhir persekolahan di sebuah sekolah elit.

Menurut Nadia Khan yang juga bertindak sebagai penerbit, pengarah dan penulis skrip, idea untuk mengangkat Gantung ke layar perak lahir daripada sokongan padu peminat novel tersebut. Katanya, permintaan untuk melihat penamat kisah dari novel pertama menjadi dorongan utama dalam merealisasikan projek ini.
Bagi menjayakan pembikinan filem ini, usaha pengumpulan dana secara crowdfunding dimulakan sejak Januari 2020. Melalui penjualan buku edisi khas Musketeers, t-shirt dan cenderamata, mereka berjaya mengumpul sebanyak RM200,000. Namun, pandemik Covid-19 telah menangguhkan proses pembikinan buat sementara waktu.
“Walaupun terpaksa dihentikan seketika, kami anggap ini sebagai amanah daripada peminat. Akhirnya, penggambaran dapat dijalankan pada Disember 2023 sehingga Januari 2024,” jelas Nadia.

Filem ini menampilkan barisan pelakon utama yang terdiri daripada Ikmal Amry, Ben Amir, Hafreez Adam, Brandon Salim dan Shazia Rozaini. Turut dibantu oleh Gita Sucia, Taufiq Hanafi, Nelissa Nizam serta pelakon berpengalaman seperti Bront Palarae dan Sofia Jane.

Watak Gibbs dan Farah yang dahulunya dilakonkan oleh Randy Pangalila dan Mentari de Marelle kini digalas oleh Ben Amir dan Shazia Rozaini.
Menariknya, Nadia menegaskan bahawa filem ini boleh ditonton tanpa perlu menonton siri televisyen atau membaca novel asal.
“Walaupun ada beberapa perubahan dari novel, semangat asal cerita tetap dikekalkan,” katanya.
Selain membawa unsur misteri dan drama remaja, tema persahabatan menjadi tunjang utama filem ini. Ia bukan sahaja mengimbau kenangan zaman persekolahan, tetapi turut menyentuh realiti zaman muda yang penuh dengan kesilapan dan pencarian identiti.
Filem Gantung: Musketeer Code bakal menemui penonton di seluruh negara pada 5 Jun 2025. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kesudahan kisah penuh misteri ini!
Comments