top of page

Gabung Malaysia & Thailand, Dua Filem Seram Astro Shaw Ini Bakal Gegar Dunia Tahun 2026!

  • kaypohmedia
  • 2 days ago
  • 2 min read

Astro Shaw terus melangkah ke peringkat antarabangsa dengan mengumumkan dua filem seram Thailand – Delivery Man dan Fortune Seekers – hasil kerjasama strategik bersama Night Edge Pictures. Dengan elemen budaya Asia Tenggara, penceritaan yang segar, serta pelakon hebat seperti Aokbab Chutimon dan Ananda Everingham, kedua-dua filem ini dijangka menjadi tumpuan peminat genre seram global apabila ditayangkan pada tahun 2026.



Salah satu filem yang tengah hangat diperkatakan ialah Fortune Seekers. Diumumkan semasa Cannes Market baru-baru ini, filem ini akan menampilkan pelakon sensasi Aokbab Chutimon, ya pemenang International Emmy Awards 2024 yang popular menerusi Bad Genius dan Hunger. Dalam filem ini, Aokbab membawa watak pembantu klinik kecantikan yang hidupnya sering dilanda malang. Tapi semuanya berubah bila dia menemui sebuah azimat misteri yang kononnya boleh memindahkan tuah orang lain kepada dirinya. Bunyi macam power, tapi dia tak tahu yang tindakan itu telah membebaskan satu roh jahat. Seramnya bukan calang-calang, weh.



Satu lagi filem yang bakal mencuri perhatian ialah Delivery Man. Filem ini dibintangi dua nama besar industri hiburan Thailand – Bhumibhat Thavornsiri dan Ananda Everingham. Kisahnya berkisar tentang seorang penghantar makanan yang mula obses dengan pelanggannya. Apa yang bermula sebagai tugas harian bertukar menjadi ketaksuban melampau, dengan elemen suspens dan ketegangan yang sangat dekat dengan realiti urban masyarakat Asia. Filem ini diumumkan semasa European Film Market di Berlin, dan akan ditayangkan pada awal 2026.



Kerjasama ini menjadi bukti betapa Astro Shaw serius dalam memperkukuhkan kehadiran kandungan serantau di pentas global. Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, projek ini bukan sahaja memaparkan kisah seram yang unik, tetapi juga kaya dengan unsur budaya dan kepercayaan Asia Tenggara yang jarang ditonjolkan secara komersial.

“Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada dua projek hebat ini. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu usaha untuk membawa cerita-cerita seram serantau ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Astro Shaw juga akan memainkan peranan penting dalam pengedaran dan promosi filem ini di Malaysia, selain meneroka potensi tayangan di platform penstriman. Jadi, peminat cerita seram bolehlah mula bersedia dari sekarang — tahun 2026 nampaknya bakal penuh dengan mimpi ngeri yang cukup bergaya.


Untuk perkembangan terkini, jangan lupa follow akaun media sosial Astro Shaw di Instagram, TikTok, Facebook dan X. Mana tahu teaser awal keluar bila-bila masa je lagi.

Tahun depan, seram bukan lagi biasa-biasa. Astro Shaw nak kita takut, tapi dengan penuh gaya. Berani nak tengok?

Comments


bottom of page