top of page

Filem "Munajjim: Sekutu Iblis" Bongkar Realiti Ilmu Hitam dan Syirik Dalam Masyarakat

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 2 days ago
  • 2 min read

Genre seram tempatan bakal digegarkan dengan kemunculan filem baharu berjudul Munajjim: Sekutu Iblis, terbitan Yusrych Global Sdn. Bhd yang dijangka akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 31 Julai 2025.


Filem ini menampilkan elemen seram yang tidak klise dan mengisahkan tentang kisah benar. Munajjim: Sekutu Iblis mengangkat isu serius tentang kewujudan amalan ilmu hitam dan syirik yang masih berlaku dalam masyarakat moden. 


Penerbit filem ini, Yusry Makmor menjelaskan bahawa filem ini bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi satu peringatan tentang bahaya khurafat dan akibatnya kepada akidah. 


“Masih ramai yang mencari jalan pintas melalui bomoh untuk menyelesaikan masalah peribadi. Filem ini mahu membuka mata penonton tentang kesan buruk amalan sebegini yang jelas bertentangan dengan ajaran agama,” kata Yusry.




Filem ini mengisahkan tentang sebuah keluarga yang terlalu bergantung kepada bomoh, dan bagaimana si anak yang berdendam memilih jalan hitam menggunakan sihir untuk membalas terhadap bekas kekasih isterinya. Namun, ilmu tersebut berpatah balik dan mengancam nyawa mereka sekeluarga.


Apa yang membezakan Munajjim: Sekutu Iblis daripada filem seram lain adalah pendekatannya yang lebih realistik, disulami dengan visual sinematik dan naratif yang padat dengan mesej. 


Pengarah Faizul A. Rashid menekankan bahawa filem ini bukan sekadar tentang hantu, tetapi tentang realiti amalan syirik dan akibatnya yang menghantui.


“Tiada pontianak atau pocong dalam filem ini, sebaliknya penonton akan disajikan dengan 'pendamping' berupa jin dan makhluk halus yang bersekutu dengan manusia demi menyesatkan akidah mereka,” katanya.


Filem ini turut menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis dan pelakon cilik Daniel Aqil.


Idea asal filem ini digarap oleh Yusry Makmor bersama Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa, dengan penggambaran dijalankan di beberapa lokasi sekitar Selangor pada Januari 2025.


Filem ini diedarkan secara antarabangsa oleh D’Ayu Picturess dan mendapat sokongan promosi daripada Empire Solutions dan juga ia turut menjalinkan kerjasama dengan rangkaian pawagam TGV untuk tayangan besar-besaran. 


Munajjim: Sekutu Iblis dijangka menjadi antara karya seram tempatan yang memberi impak bukan sahaja dari segi hiburan, tetapi juga kesedaran terhadap bahaya kepercayaan karut dalam kehidupan moden.


Comentarios


bottom of page