Festival Filem Raintown 3.0 Terima 152 Penyertaan, Naik Hampir 48%
- Tasnim Ahmad
- 30 minutes ago
- 1 min read
Festival Filem Raintown terus membuktikan pengaruhnya dalam industri filem bebas tempatan apabila menerima 152 penyertaan bagi Pertandingan Filem Pendek Raintown 2026. Jumlah itu meningkat hampir 48 peratus berbanding 103 penyertaan pada tahun lalu.

Peningkatan ini menunjukkan semakin ramai pembikin filem melihat Festival Filem Raintown sebagai platform untuk mengetengahkan karya asli serta berkongsi penceritaan tempatan kepada khalayak yang lebih luas.
Daripada keseluruhan penyertaan, 20 filem terbaik berjaya dipilih sebagai finalis selepas melalui proses penilaian panel juri bebas. Kesemua finalis bakal bersaing dalam lapan kategori anugerah sempena festival yang akan berlangsung di Taiping pada September ini.
Menurut Pengasas Festival Filem Raintown, Jacky Yeap, festival itu kini semakin dikenali dalam kalangan pembikin filem di seluruh negara. Beliau berkata peningkatan jumlah dan kualiti penyertaan membuktikan festival ini semakin diyakini sebagai platform untuk memperkenalkan karya kreatif tempatan.
Finalis tahun ini terdiri daripada pengarah profesional, pelajar perfileman, pembikin filem baharu serta peserta yang pernah bertanding sebelum ini. Karya yang dipilih pula merangkumi filem naratif, dokumentari, animasi dan sinema eksperimental yang mengangkat tema "After the Rain".
Dengan sambutan yang semakin menggalakkan, Festival Filem Raintown terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform penting yang menyokong perkembangan bakat dan industri filem bebas di Malaysia.



Comments