Fattah Amin Usik Jiwa Penonton Menerusi “Noktah Dosa”
- Ain Najihah
- Jul 9
- 2 min read

Dalam dunia yang sering cepat menghukum, hadir sebuah karya yang mengajak penonton untuk melihat jauh ke dasar manusiawi.
Noktah Dosa, telefilem terbaru di slot Cerekarama TV3, bukan sekadar tontonan hujung minggu, sebaliknya sebuah naskhah mendalam yang menyentuh persoalan dosa, takdir, dan peluang kedua. Lebih istimewa lagi, karya ini menandakan debut pengarah Fattah Amin dalam arena telefilem tempatan.

Noktah Dosa bakal ditayangkan pada 12 Julai ini pada jam 10 malam. Karya ini merupakan antara karya terawal dalam inisiatif istimewa TV3 bertajuk Dari Layar ke Lensa yang menyaksikan empat nama besar iaitu Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim.
Empat figura ini diberi kepercayaan untuk mengarahkan cerita mereka sendiri. Projek ini membuktikan kesungguhan TV3 dalam memperkasa kreativiti penggiat seni tanah air dan membawa naratif segar dari sudut pandang yang lebih jujur.
Telefilem ini mengisahkan tentang Hafiz (lakonan Nafiz Muaz), pelajar pascasiswazah jurusan sosiologi yang sedang mengkaji dunia pelacuran. Penyelidikannya membawa Hafiz ke lorong-lorong kelam kota raya dan mempertemukannya dengan Kamelia (Datin Elvina Mohamad), seorang wanita yang terperangkap dalam dunia kelam bukan atas kehendaknya sendiri. Tersentuh dengan kisah silam Kamelia, Hafiz berusaha keras mahu menyelamatkannya daripada cengkaman Madam (Jasmin Hamid), seorang ibu ayam yang menguasai hidup wanita malang itu.

Menurut Fattah Amin, mesej utama Noktah Dosa adalah untuk membuka mata masyarakat terhadap penghakiman mudah yang sering dilemparkan kepada insan yang sedang diuji.
“Walau seseorang itu hidup dalam dosa secara zahir, kita tidak berhak menilai. Hidayah itu milik Allah. Ia boleh datang kepada sesiapa saja, bila-bila masa,” ujarnya.
Fattah turut berkongsi cabaran sewaktu mengarahkan babak simbolik Kamelia di bilik mandi iaitu momen penyucian dirinya daripada dosa lalu.
Penggambaran babak ini dilakukan lewat malam dan terpaksa diulang beberapa kali bagi mendapatkan visual yang diinginkan.
“Saya mahu solekan yang mengalir dari wajah Kamelia jatuh ke lantai dengan jelas supaya ia dapat menggambarkan penyesalan dan kelahiran semula,” tambahnya.
Noktah Dosa menampilkan barisan pelakon yang berpengalaman iaitu Nafiz Muaz, Datin Elvina Mohamad dan Jasmin Hamid. Telefilem ini bakal menjanjikan penceritaan yang sarat nilai insani dan menyentuh emosi.
Ia bukan sahaja menimbulkan rasa simpati, tetapi juga mengajak penonton merenung kembali nilai empati dan peluang kedua dalam kehidupan.
Selain Noktah Dosa, dua lagi telefilem daripada projek Dari Layar Ke Lensa bakal menemui penonton iaitu Susu Lima Kupang arahan Janna Nick (19 Julai) dan Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim (26 Julai), kesemuanya akan muncul di slot Cerekarama, setiap Sabtu jam 10 malam di TV3.
Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman sosial rasmi TV3 di @TV3Malaysia dan @dramasangat!
Comments