Fajar Noor Pertaruh Kisah Cinta, Kehilangan dan Harapan Dalam Album Sulung Sementara, Selamanya
- N

- 11 minutes ago
- 2 min read
Kalau anda peminat lagu pop balada yang penuh emosi, album sulung Fajar Noor ini mungkin antara yang patut masuk dalam senarai main anda. Menerusi Sementara, Selamanya, penyanyi itu tampil dengan karya yang cukup dekat dengan dirinya, mengangkat perjalanan sebuah hubungan daripada saat jatuh cinta, diuji konflik, berdepan kehilangan sehinggalah kepada rasa yang masih tertinggal walaupun segalanya seakan sudah berakhir.

Berbeza dengan karya yang hanya berkisar tentang kisah cinta semata-mata, Sementara, Selamanya cuba menyelami sisi emosi yang sering sukar diungkapkan. Penyesalan, kerinduan dan kata-kata yang tidak pernah sempat diluahkan menjadi benang merah yang menghubungkan setiap lagu dalam album ini. Tema sebegini pastinya mudah dikaitkan dengan pengalaman ramai pendengar.
Menariknya, album ini dibina berdasarkan konsep "cycle of love", iaitu perjalanan emosi yang berlaku dalam sesebuah hubungan. Dari detik bahagia ketika mengenali seseorang, hinggalah kepada fasa perpisahan yang tidak benar-benar menemui noktah, setiap lagu disusun seperti babak dalam sebuah cerita yang saling berkait.
Dari sudut muzik pula, Fajar Noor berganding bahu dengan penerbit Arsy Widianto dan Iqbal Siregar bagi menghasilkan susunan pop balada yang moden tetapi masih mudah dihayati. Aransemen yang ringkas dipadankan dengan melodi yang kuat, menjadikan setiap lagu terasa jujur tanpa perlu terlalu dramatik.

Menurut Fajar, album ini merupakan karya paling peribadi sepanjang perjalanan seninya. Katanya, banyak lagu yang lahir daripada pengalaman sebenar dan emosi yang pernah dilaluinya sendiri.
"Saya harap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, tetapi juga dapat dirasai oleh sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan," katanya.
Berita yang pasti menggembirakan peminat Malaysia, Fajar Noor turut mengumumkan bahawa beliau bakal datang ke negara ini untuk mempromosikan album sulungnya. Pengumuman itu dibuat ketika sesi temu bual secara langsung bersama ERA Sabah, ERA Sarawak dan Gempak.
Bukan itu sahaja, penyanyi tersebut juga mendedahkan perancangan untuk mengadakan persembahan album secara langsung di Malaysia. Walaupun tarikh dan lokasi masih belum diumumkan, ramai peminat sudah mula menantikan peluang untuk menikmati lagu-lagu daripada Sementara, Selamanya secara live buat kali pertama.

Kehadiran Fajar ke Malaysia pastinya menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan, terutama bagi peminat yang selama ini hanya mengikuti perkembangan muziknya menerusi platform digital. Maklumat lanjut mengenai persembahan tersebut dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran media sosial rasmi Fajar Noor dan Universal Music Malaysia.
Sementara, Selamanya kini boleh distrim di semua platform penstriman digital. Kalau anda sedang mencari album yang sesuai didengar ketika memandu, bekerja atau sekadar mahu menghayati perjalanan emosi dalam sebuah hubungan, karya sulung Fajar Noor ini mungkin berbaloi untuk diberi peluang.



Comments