top of page

Elizad Sharifuddin Tampil Dengan Watak Paling Emosi Dalam Drama Perempuan Tidak Ternikah

  • Writer: N
    N
  • 11 hours ago
  • 2 min read

Apabila cinta diragut tanpa belas, keluarga berpaling arah, dan maruah seorang wanita dipijak sesuka hati, mampukah dirinya bangkit semula? Persoalan inilah yang menjadi nadi kepada drama terbaharu TV3, Perempuan Tidak Ternikah, sebuah naskhah sarat emosi yang mengupas sisi gelap cinta, pengorbanan dan trauma wanita.


Drama ini bakal menemui penonton bermula 17 Disember 2025, disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.

Elizad Sharifuddin Perempuan Tidak Ternikah

Menampilkan lakonan mantap Elizad Sharifuddin sebagai Keisya, Perempuan Tidak Ternikah turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Yusuf Bahrin, Shahz Jaszle, Ali Reza, Raden Zaharatul, Kaza, Sharifah Shahora dan Gabriel Chung.


Watak Keisya memperlihatkan perjalanan hidup seorang wanita yang diuji bertubi-tubi, daripada kehilangan kasih sayang keluarga, pengkhianatan, sehinggalah kepada trauma yang hampir memusnahkan jiwanya.


Keisya dibesarkan oleh neneknya selepas ibu bapanya berpisah. Dalam hidup yang serba kekurangan kasih sayang, tunangnya Adli (Ali Reza) menjadi satu-satunya tempat Keisya menumpang harapan.


Namun, hidup Keisya berubah menjadi mimpi ngeri apabila ayah kandungnya, Malik (Kaza), muncul dengan niat tidak bermoral. Lebih menyayat hati, Keisya terpaksa berdepan hakikat pahit apabila mengetahui dirinya adalah anak luar nikah, dan Malik sanggup menuntut wang sebagai syarat untuk mengesahkan pernikahannya.


Demi cinta, Keisya dan Adli nekad bernikah di Siam. Namun kebahagiaan itu tidak bertahan lama. Nenek Keisya meninggal dunia akibat serangan jantung, manakala Adli pula maut dalam satu kemalangan jalan raya.

Kehilangan dua insan paling disayangi membuatkan Keisya jatuh ke lembah kemurungan. Lebih menyakitkan, keluarga Adli menolak dirinya walaupun Keisya sedang mengandung zuriat arwah suaminya.


Dalam keadaan hampir berputus asa, Keisya diselamatkan oleh Rayyan (Yusuf Bahrin), seorang lelaki berhati mulia yang membantunya memulakan hidup baharu di sebuah rumah kebajikan.


Benih cinta mula berputik, namun luka lama dan trauma silam membuatkan Keisya takut untuk percaya pada kebahagiaan. Dia memilih untuk melarikan diri daripada perasaan sendiri, walaupun hatinya mendambakan ketenangan.


Perempuan Tidak Ternikah bukan sekadar kisah cinta yang tidak kesampaian, tetapi sebuah drama yang berani mengangkat isu maruah wanita, trauma, penganiayaan dan stigma masyarakat.

Ia mencerminkan realiti pahit yang sering berlaku apabila wanita menjadi mangsa keadaan dan keputusan orang lain, dipaksa menanggung beban dosa yang bukan milik mereka.


Dengan penceritaan yang emosional, konflik keluarga yang mendalam serta lakonan berkesan daripada barisan pelakon berpengalaman, drama ini dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.


Perempuan Tidak Ternikah bersiaran bermula 17 Disember 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.Penonton juga boleh menonton episod baharu 24 jam lebih awal melalui www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Comments


bottom of page