Drama Thriller Hilang Kasyorga Bakal Gegar Unifi TV Bermula 23 Jun Ini!
- Ain Najihah
- 23 hours ago
- 2 min read

Syarikat produksi tempatan, Country & Universal Sdn Bhd, terus mengekalkan reputasinya dalam menghasilkan karya berkualiti menerusi penerbitan drama bersiri Hilang Kasyorga untuk Unifi TV Originals.
Drama ini menggabungkan elemen kekeluargaan dan suspense thriller.
Hilang Kasyorga bakal bersiaran selama enam episod bermula 23 Jun 2025 di saluran DEGUP, Unifi TV.
Saluran DEGUP HD (Saluran 120) merupakan saluran eksklusif Unifi TV yang menawarkan pelbagai pilihan drama bersiri dan filem dari dalam serta luar negara.
Fokus utama saluran ini adalah pada kandungan bergenre seram dan aksi, menjadikannya platform yang ideal untuk tayangan Hilang Kasyorga.
Hilang Kasyorga mengisahkan seorang kanak-kanak jalanan bernama Kasyorga (Adra Mikayla) yang tiba-tiba hilang tanpa jejak ketika sedang bermain bersama rakan-rakannya.
Kehilangannya mencetuskan panik dalam kalangan komuniti setempat, terutamanya bapa angkatnya, Pak Bakar (Azhar Sulaiman), yang kemudian meminta bantuan jirannya, Rodi (Kamal Adli) iaitu seorang bekas pembunuh upahan untuk mencari anak tersebut.
Dalam masa yang sama, Rodi turut menerima arahan untuk membunuh seorang ahli perniagaan wanita ternama, Datuk Zaza (Nabila Huda), yang terpalit dengan skandal seks bersama pemandu dan pembantu peribadinya, Reza (Luqman Hafiz).


Drama ini menampilkan gabungan pelakon berpengalaman dan pendatang baharu yang berbakat besar seperti Kamal Adli, Nabila Huda, Adra Mikayla, Luqman Hafiz, Azhar Sulaiman, Arfie Shah, Hariz Hamdan, Hafidzuddin, Fadilah Mansor, Ellie Suriaty, Kodi Rashid dan Dina Allysha.

Menurut pengarahnya, Feroz Kader, Hilang Kasyorga merupakan sebuah naskhah yang berat dari segi jalan cerita namun tetap mampu menghiburkan penonton dengan babak aksi yang mendebarkan.
“Isu-isu yang disentuh seperti pemerdagangan manusia sangat dekat dengan masyarakat kita. Drama ini bukan sahaja menyampaikan mesej sosial, tetapi juga dipenuhi dengan ketegangan dan emosi yang kuat,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, suasana suram dan ‘dark’ dalam jalan cerita diterjemahkan dengan pemilihan lokasi penggambaran yang realistik seperti lorong-lorong di sekitar Chow Kit dan Bukit Bintang bagi memberikan kesan dramatik yang lebih mendalam kepada penonton.
Hilang Kasyorga merupakan satu lagi penambahan signifikan dalam portfolio Unifi TV Originals yang semakin berkembang.
Drama bersiri Hilang Kasyorga boleh ditonton bermula 23 Jun 2025 dengan episod baharu setiap hari Isnin, jam 11 malam.
Penonton juga boleh menstrim siri ini menerusi aplikasi Unifi TV serta menggunakan fungsi ‘Catch Up’ untuk menonton semula pada bila-bila masa iaitu eksklusif kepada pelanggan Unifi TV.
Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti kisah penuh misteri dan aksi mendebarkan ini yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyentuh isu realiti masyarakat hari ini.
Comments