top of page

Drama ‘Kerana Seorang Lelaki’: Kisah Cinta Terlarang dan Rahsia Keluarga di Slot Tiara Astro

  • kaypohmedia
  • 1 day ago
  • 2 min read

Astro kembali mempertaruhkan naskhah berat dan penuh konflik menerusi drama bersiri terbaru, Kerana Seorang Lelaki yang menghiasi slot popular Tiara bermula 11 Ogos 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di saluran Astro Prima (105).

ree

Disutradarai oleh pengarah tersohor Michael Ang dan diterbitkan oleh Darkwave Pictures, drama ini mengangkat naratif berani tentang cinta terlarang, warisan, dan rahsia gelap seorang lelaki yang memecah-belahkan dua keluarga dari latar sosial yang berbeza.


Kerana Seorang Lelaki menandakan gandingan semula pasangan kegemaran penonton Harissa Adlynn dan Daniel Fong, selepas kejayaan drama Beautiful Love Revenge. Kali ini, mereka membawa watak dua insan yang jatuh cinta tanpa menyedari bahawa mereka sebenarnya berkongsi pertalian darah. Kisah cinta tragis ini diperkukuh dengan kehadiran dua wanita berpengaruh Madame Clarissa lakonan Dr Soo Wincci dan Puan Linda lakonan Marissa Yasmin yang masing-masing memperjuangkan hak dan maruah sebagai isteri dan ibu.


Drama ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila Dr Soo Wincci muncul sebagai watak antagonis utama buat pertama kali dalam slot Tiara, memegang peranan sebagai wanita elit yang penuh kawalan dan dendam. Marissa Yasmin pula membawa sisi kontras sebagai ibu penyayang dari latar kehidupan sederhana.


Plot bermula dengan kematian mengejut Richard Wong (Steve Yap), seorang tokoh korporat yang menyembunyikan dua kehidupan berbeza satu bersama Madame Clarissa, dan satu lagi selepas memeluk Islam bersama Puan Linda. Kejutan ini menjadi pencetus kepada pertembungan dua dunia yang mencabar batas kepercayaan, darah daging dan siapa sebenarnya yang layak menerima warisan empayar korporatnya.


Barisan pelakon turut diperkuatkan oleh Arena Wan, Kahoe, Aiman Ameer dan Nabil Aqil, menjadikan drama ini kombinasi pelakon generasi baharu dan berpengalaman yang membawakan emosi, konflik dan dinamika keluarga dengan berkesan.


Menurut Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Melayu Astro, “Kerana Seorang Lelaki membongkar persoalan siapa yang layak dikasihi, dipercayai dan diwarisi dalam dunia yang berpecah kerana rahsia silam. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga naskhah yang membuka ruang refleksi tentang nilai cinta, ketamakan, dan perjuangan wanita.”


Antara isu yang diangkat termasuklah jurang sosial, agama, nasab, serta bagaimana ketamakan dan manipulasi boleh menghancurkan institusi kekeluargaan. Drama ini juga memberi sorotan terhadap watak-watak wanita yang kompleks, berani, manipulatif, tetapi penuh emosi mencerminkan cabaran sebenar wanita dalam masyarakat hari ini.


Untuk pengalaman tontonan yang lebih fleksibel, penonton boleh strim drama ini secara On Demand di Astro GO dan sooka. Jangan lepaskan peluang menyaksikan konflik penuh dramatik dan lakonan mantap dalam Kerana Seorang Lelaki hanya di slot Tiara, Astro Prima.

Comentarios


bottom of page