DOLLA Kembali Dengan ‘Question’, Lagu Tentang Cinta, Pengkhianatan & Kekuatan Diri
- N

- 8 hours ago
- 2 min read
Kumpulan gadis sensasi Malaysia, DOLLA, kembali menghangatkan dunia muzik dengan single baharu berjudul “Question”, sebuah lagu pop beremosi yang menyentuh tentang pengkhianatan, patah hati, dan keberanian untuk berdepan dengan diri sendiri.

Pada pendengaran pertama, “Question” mungkin kedengaran seperti lagu tentang pasangan yang curang, namun di sebalik melodinya yang rancak dan catchy, tersembunyi mesej mendalam tentang penyembuhan emosi dan pemberdayaan diri selepas kecewa dalam cinta.
“Lagu ini tentang berdepan dengan pasangan yang curang, tetapi pada intinya, ia tentang berdepan dengan perasaan sendiri. Ia tentang membenarkan diri untuk rasa sedih dan terdedah, untuk jujur dengan emosi tanpa menyembunyikannya,” — Tabby, ahli DOLLA.

Ditulis oleh Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun, bersama ahli DOLLA sendiri Tabby, Sabronzo dan Angel, lagu ini menampilkan gabungan unik antara lirik yang kuat, emosi yang tulus, dan melodi pop yang melekat di kepala.
“Kami memang mencari sesuatu yang lebih lirik dan mudah dikaitkan kali ini. Kami ubah sedikit bahagian instrumental dan lirik supaya emosi itu lebih menyerlah. Bekerja dengan Kuizz dan Justin sangat menyeronokkan!” tambah Tabby.
Dihasil dan disusun oleh Justin Seow dan Kuizz, “Question” mengekalkan DNA pop DOLLA yang dikenali ramai tetapi kali ini dengan sentuhan emosi dan kematangan baharu yang menunjukkan evolusi muzik kumpulan ini.

Selain melodi yang berapi, “Question” turut menonjolkan koreografi bertenaga hasil kolaborasi dengan Akkaraphol Prompen, koreografer berbakat dari Thailand.
“Gaya beliau menggabungkan pergerakan feminin dengan formasi yang unik dan yakin tapi tetap ada unsur keseronokan. Kami mahu tarian ini mencerminkan sikap dan tenaga lagu ini,” kata Sabronzo.
Untuk melengkapkan pelancaran ini, DOLLA turut mempersembahkan muzik video berkonsepkan suasana diner retroyang dirakam di Fowlboys, The Campus. Dengan gaya visual berani dan sedikit elemen jenaka, video ini menunjukkan sisi DOLLA yang lebih playful dan sassy.
“Kami suka tema diner retro yang menyeronokkan. Kali ini kami ada pelakon lelaki yang jadi ‘teman lelaki curang’ kami semua dan kami berdepan dengannya dengan cara yang agak dramatik!” kongsi Angel sambil ketawa.

Dalam video tersebut, DOLLA menukar rasa dikhianati menjadi simbol kekuatan dan keyakinan diri, disampaikan dengan gaya fesyen dan sikap berani khas mereka.
Selepas pelancaran “Question”, DOLLA bersedia menutup tahun 2025 dengan impak besar. Mereka bakal tampil dalam konsert solo “Good Girls Gone Bad” yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember 2025, sebelum membuka lembaran baharu untuk 2026.
“Kami merancang untuk melancarkan album penuh DOLLA dan memperluas kehadiran kami ke seluruh Asia Tenggara tahun depan. Kami tak sabar nak berkongsi muzik baharu dan berjumpa peminat luar Malaysia,” ujar Angel.
Dengan “Question”, DOLLA bukan sekadar menyanyi tentang kekecewaan, mereka menyampaikan mesej kekuatan, kejujuran dan pemberdayaan diri dengan cara yang hanya DOLLA mampu lakukan: berani, bergaya dan penuh tenaga.









Comments