Doa Sang Pendosa: Telefilem Raya Bawa Isu Dadah & Wanita Hebat
- Tasnim Ahmad
- Mar 18
- 1 min read
Aidilfitri tahun ini, jangan lepaskan peluang untuk menonton Doa Sang Pendosa, telefilem yang bukan sekadar hiburan tapi juga penuh mesej sosial mendalam. Mengangkat tema penagihan dadah dan kehidupan wanita di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kota Bharu, karya Red Bean Productions ini gandingkan Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Farah Ahmad dan Nadia Aqilah iaitu otai-otai dan pelakon muda yang memang ‘power’ dalam lakonan.

Buat Farah Ahmad, berlakon sebagai Zaiton, seorang warden tegas tetapi penyayang, adalah satu tanggungjawab yang besar.
“Karakter Zaiton perlu tegas tapi penuh kasih supaya klien di PUSPEN hormat. Doa Sang Pendosa ada mesej penting tentang pemulihan, sokongan keluarga dan peluang kedua dalam hidup,” kongsi Farah.
Persandingan dengan Fauziah Nawi dan Fatimah Abu Bakar pula memberi pengalaman tersendiri.
“Boleh belajar banyak daripada mereka. Bukan sahaja berlakon, tapi juga ‘main’ emosi bersama tanpa rasa tertekan,” tambah Farah lagi.
Sementara itu, Nadia Aqilah menekankan bagaimana telefilem ini memberi platform kepada pelakon wanita untuk membawa watak utama dengan isu-isu yang jarang disentuh. Fatimah Abu Bakar pula berkongsi perspektif wataknya sebagai penagih dadah yang mencari ketenangan dan pengampunan, sekali gus menekankan nilai persahabatan, kekuatan dan keinsafan.

Bukan sekadar cerita sedih, Doa Sang Pendosa padat dengan konflik, emosi dan persahabatan yang diuji dalam suasana Aidilfitri yang membuatkan penonton bukan sahaja terhibur, tapi juga terkesan. Jangan lupa saksikan pada 22 Mac 2026, pukul 3 petang di Astro Prima, dengan sokongan penuh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).



Comments