Disagree Kembali Selepas Sedekad, Bawa Cerita Yang Belum Selesai
- Tasnim Ahmad
- 2 hours ago
- 1 min read
Peminat alternatif rock tempatan mesti kenal nama Disagree. Selepas lebih sedekad menyepi, kumpulan ini akhirnya kembali dengan single baharu berjudul “Let’s Do It All Again” yang dilancarkan pada 15 Mei 2026.

Disagree tampil semula dengan barisan ahli asal iaitu Zahid, Hamka dan Taa. Menariknya, kemunculan kali ini bukan sekadar nak hidupkan nostalgia, tetapi juga untuk ‘menyambung’ cerita yang pernah tergantung satu ketika dahulu. Menurut mereka, kumpulan itu tidak pernah sempat mengucapkan selamat tinggal kepada peminat sebelum ini.
Single “Let’s Do It All Again” membawa tema kepulangan, penyesalan dan peluang kedua. Lagu ini menggambarkan perjalanan sebuah kumpulan yang pernah berada di puncak, sebelum perlahan-lahan hilang daripada perhatian ramai akibat komitmen kehidupan dan haluan masing-masing.
Walaupun masih mengekalkan identiti alternatif rock dan grunge yang sinonim dengan Disagree, bunyi muzik mereka kini lebih matang dan emosional. Lagu ini juga mendapat sentuhan penerbit pemenang AIM, Greg Henderson, manakala proses mastering dilakukan oleh pemenang Grammy, Leon Zervos di Australia.
Untuk peminat lama, nama Disagree memang cukup besar dalam scene indie rock Malaysia sekitar era 2000-an. Mereka pernah popular dengan lagu seperti “Crumbs”, “Suicide Note”, “Osaka” dan “Haley”, selain pernah berkongsi pentas dengan Hoobastank dan The All-American Rejects.

Kemunculan semula ini juga menjadi pembuka kepada album baharu mereka berjudul “Black & White in Colour”. Nampaknya, Disagree bukan saja kembali untuk muzik, tetapi juga untuk kembali berhubung dengan peminat yang masih setia menunggu mereka sampai hari ini.



Comments