top of page

Di Sebalik Jubah: Bila Imej Suci Jadi Alat Manipulasi?

  • Writer: N
    N
  • Jan 24
  • 2 min read

Tak semua yang nampak baik itu betul-betul bersih. Di Sebalik Jubah, siri jenayah terbaharu di Tonton, berani menyelongkar isu sensitif yang dekat dengan realiti hari ini, penyelewengan dana kebajikan, manipulasi kepercayaan, dan bagaimana imej agama boleh disalah guna.

Azira Shafinaz dan Daiyan Trisha dalam siri Di Sebalik Jubah di Tonton

Bermula 22 Januari 2026, siri ini tampil dengan naratif yang buat kita tak senang duduk, tapi dalam masa sama susah nak pandang ke arah lain. Dibintangi Azira Shafinaz dan Daiyan Trisha, Di Sebalik Jubah mengisahkan Layla dan Amina, dua beradik pempengaruh Islamik yang cukup disanjung masyarakat.


Dengan penampilan berjubah, tutur kata lembut dan konten penuh nilai murni, mereka mengemudi Laymina Shares, sebuah yayasan kebajikan yang berjaya mengumpul dana besar hasil kepercayaan orang ramai. Masalahnya, ke mana sebenarnya duit itu pergi?


Kecurigaan mula timbul apabila sebahagian sumbangan yang dikutip tidak sampai kepada golongan sasar. Sebaliknya, ada tanda-tanda dana digunakan untuk kepentingan peribadi.


Di sinilah muncul Rashid (Nafiz Muaz), seorang dermawan muda yang pada awalnya kagum dengan perjuangan Layla dan Amina. Namun rasa hormat itu bertukar menjadi persoalan apabila projek-projek kebajikan yang dijanjikan mula nampak janggal.

Sedikit demi sedikit, rahsia yang disorok mula terbongkar. Dan bila kebenaran muncul, hubungan dua beradik ini turut diuji.

Azira Shafinaz dan Daiyan Trisha dalam siri Di Sebalik Jubah di Tonton

Kenapa Di Sebalik Jubah Jadi Perhatian?


1. Isu yang sangat dekat dengan masyarakat Malaysia

Penyelewengan dana kebajikan bukan benda asing. Siri ini berani angkat persoalan yang ramai fikir, tapi jarang dibincangkan secara terbuka.


2. Watak yang kelihatan ‘baik’, tapi kompleks

Tiada hitam putih yang jelas. Setiap watak ada konflik dalaman, terutamanya Amina yang terperangkap antara kesetiaan keluarga dan suara hati.

“Amina sedar ada sesuatu yang tak kena, tapi terikat dengan keadaan dan keluarga,”— Daiyan Trisha

3. Kritikan terhadap budaya ‘percaya sebab popular’

Siri ini secara halus menyentil obsesi masyarakat terhadap imej, pengaruh media sosial dan kepercayaan tanpa soal.

Azira Shafinaz dan Daiyan Trisha dalam siri Di Sebalik Jubah di Tonton

Di Sebalik Jubah bukan sekadar cerita tentang jenayah kewangan. Ia tentang kepercayaan yang dikhianati, imej yang dipertahankan, dan kebenaran yang sengaja ditutup demi nama dan pengaruh.


Soalan paling besar yang siri ini lemparkan kepada penonton: Sejauh mana kita sanggup tutup mata demi menjaga imej kebaikan?


Kalau anda minat siri tempatan yang berani, relevan dan buat kita berfikir lepas episod tamat, Di Sebalik Jubah memang layak masuk senarai tontonan.

Siri lapan episod ini ditayangkan secara eksklusif di Tonton setiap Isnin dan Khamis.

Tonton, dan nilai sendiri.

Comments


bottom of page