Di Sebalik Glamour K-pop, IDOL I Tampilkan Konflik Moral Dan Tekanan Populariti
- Atiqah Halim

- 2 days ago
- 2 min read

Industri K-pop sering digambarkan sebagai dunia yang penuh glamor dan sempurna. Namun, drama Korea IDOL I tampil berani membongkar sisi gelap di sebalik populariti apabila jalan ceritanya semakin memuncak dan sarat dengan konflik emosi serta persoalan moral. Kini boleh distrim di Tonton, drama ini terus mencuri perhatian penonton, khususnya selepas Episod 4 yang membuka lebih banyak rahsia tersembunyi.
IDOL I mengisahkan mimpi ngeri yang dialami Maeng SeNa lakonan Choi Soo Young apabila idola pujaannya, Do LaIk yang dibawakan oleh Kim Jae Yeong, dikaitkan dengan satu kes pembunuhan. Dari seorang bintang yang disanjung peminat, Do LaIk tiba-tiba berdiri sebagai suspek utama, sekali gus meruntuhkan kepercayaan dan kekaguman yang dibina selama ini.

Sejak namanya terpalit dengan kes tersebut, Do LaIk berdepan hukuman sosial yang kejam. Akaun digital disekat, kontrak pengiklanan dibatalkan, dan sokongan peminat lenyap tanpa amaran. IDOL I menampilkan gambaran realistik tentang budaya cancel culture dalam industri hiburan, di mana penghakiman awam berlaku lebih pantas berbanding proses mencari kebenaran.
Konflik menjadi semakin mendalam apabila SeNa, seorang peguam yang juga peminat setia Do LaIk, terperangkap dalam dilema antara tanggungjawab profesional dan perasaannya sendiri. Dialog dalam trailer yang berbunyi, “Tak pernah terlintas, walaupun dalam mimpi, kita bertemu sebagai peguam dan suspek pembunuhan,” menggambarkan pertembungan emosi yang menjadi teras kepada naratif drama ini. SeNa terpaksa memilih antara mempertahankan kebenaran atau menerima realiti pahit yang mampu menghancurkan hidupnya.

Seiring perkembangan plot, penonton turut rancak membincangkan pelbagai teori tentang siapa dalang sebenar di sebalik tragedi ini. Setiap episod membuka petunjuk baharu yang menimbulkan persoalan sama ada Do LaIk hanyalah mangsa permainan kotor industri hiburan, seorang idola yang menyimpan rahsia gelap, atau sekadar kambing hitam yang terperangkap dalam situasi di luar kawalannya. Kepelbagaian teori ini menjadikan IDOL I sebuah naskhah yang bukan sahaja mendebarkan, malah mengundang perbincangan mendalam dalam kalangan penonton.
Lebih daripada sekadar drama jenayah, IDOL I mengangkat isu harga sebenar sebuah populariti dan tekanan yang perlu ditanggung oleh seorang idola. Ia mendedahkan betapa rapuhnya kehidupan di sebalik imej glamor yang sering dipamerkan kepada umum, serta bagaimana reputasi boleh musnah dalam sekelip mata.

IDOL I ditayangkan serentak dengan Korea setiap Isnin dan Selasa pada jam 9.00 malam dan boleh ditonton 24 jam di Tonton melalui telefon atau Smart TV. Dengan visual premium dan jalan cerita yang semakin mencengkam, drama ini sememangnya antara naskhah K-drama yang wajar diberi perhatian.
Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan kegemaran anda, ikuti Tonton di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram melalui @tontonmy.









Comments