top of page

Demam Keluang Man Kembali! Superhero Ikonik Negara Menyerang Pawagam Bermula 29 Mei

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 6 days ago
  • 2 min read


Satu lagi naskhah ikonik yang bakal menggoncang layar perak tanah air! Filem Keluang Man, adaptasi ‘live-action’ daripada siri animasi legenda era 90-an bakal menjengah 154 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 29 Mei ini. 


Penonton dijanjikan sebuah pengalaman yang sarat dengan aksi, emosi, humor dan nostalgia yang menjadikan filem ini antara tayangan wajib tahun ini.


Keluang Man bukan sekadar adiwira biasa. Keunikan karakter utamanya yang bersahaja, 'gila-gila' dan penuh kejutan jenaka menjadikan watak ini dekat di hati rakyat Malaysia. 


Ditambah dengan jalan cerita penuh debaran selama 132 minit, penonton bakal dibawa menyelusuri kisah penuh emosi terhadap superhero tempatan pertama ini.



Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw bersama GSC, Idea River Run, Pasal Productions dan rakan strategik Wonda Kopi. 


Keseluruhan pasukan kreatif dari pra hingga pasca produksi adalah 100% tenaga tempatan dan lebih 1,000 profesional Malaysia berganding bahu menghasilkan filem ini dari visual, audio hingga kesan khas VFX.


Filem arahan Anwari Ashraf, yang terkenal dengan Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, menampilkan Nas Muammar Zar sebagai Keluang Man bersama barisan pelakon hebat seperti Dato’ Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon dan Halim Othman,serta penampilan istimewa Mierul Aiman, Wahid dan Azlee Senario yang menambah elemen nostalgia.



Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw merangkap penerbit eksekutif filem ini, Keluang Man adalah lebih daripada sekadar sebuah adaptasi.


“Ia adalah simbol kebanggaan negara dengan wajah baharu yang moden dan relevan untuk generasi kini. Ini bukan ‘remake’ tetapi penghormatan kepada warisan budaya pop Malaysia,” katanya.



Anwari Ashraf pula menyifatkan naskhah ini sebagai "surat cinta" kepada generasi 90-an. 


“Filem ini adalah usaha kolektif untuk mewariskan semula semangat adiwira tempatan kepada generasi baru,” ujar beliau penuh semangat.



Filem ini mengisahkan tentang Borhan, seorang pesakit mental yang kerap melarikan diri dari Hospital Tumpoi. Jalan ceritanya menyelami konflik dalaman yang dialami oleh Borhan sehingga membentuk identiti Keluang Man sebagai simbol keadilan, sekali gus mempersembahkan kisah adiwira yang sarat dengan elemen psikologi yang mendalam.



Menambahkan lagi nilai nostalgia, lagu tema asal Keluang Man diberi nafas baharu melalui gandingan Krisya dan S.O.G. Dii samping itu, pelbagai lagu ikonik era 2000-an yang pasti mengundang nyanyian bersama dalam panggung.


Tiket telah mula dijual sejak 21 Mei, manakala tayangan pratonton khas akan berlangsung pada 28 Mei.


Siri jelajah promosi pula akan menemui peminat di seluruh negara bermula 31 Mei sehingga hujung Jun, termasuk Johor, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Pahang dan Lembah Klang.


Pelbagai kolaborasi kreatif telah dijalankan bagi memberikan pengalaman adiwira tempatan yang asli dan unik kepada rakyat Malaysia. 


Antara kolaborasi tersebut termasuklah ‘Wonda Kopi Kluang’, ‘Wonda-ful Keluang Man Burger’, ‘Keluang Man WONDA Fun Run’, ‘Koleksi Premium Keluang Man oleh Royal Selangor’, serta kerjasama bersama ‘Fung Keong’ dan ‘Abstrax’.


Jadi, bersiap sedialah untuk menyaksikan legenda ini bangkit semula dengan penuh bergaya! Jangan lupa gunakan #KeluangMan dan #KeluangManMovie di media sosial untuk berkongsi keterujaan anda.


Comments


bottom of page