Bergaya & Berbakat: Daiyan Trisha Menang Besar di Anugerah Melodi Terhangat 2025
- kaypohmedia
- 2 days ago
- 2 min read
Nama Daiyan Trisha sekali lagi menjadi sebutan apabila beliau mencuri tumpuan di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) dengan menggondol dua trofi paling berprestij, Anugerah Selebriti Stailo Terhangat dan Anugerah Melodi Terhangat.

Kemenangan berganda ini bukan sekadar mencerminkan pencapaian seninya, tetapi turut mengesahkan kedudukan Daiyan sebagai ikon fesyen yang benar-benar berpengaruh dalam industri hiburan tanah air.
Sebagai selebriti yang sentiasa menjadi inspirasi dalam dunia gaya dan penampilan, tidak hairanlah Daiyan menjadi pilihan utama ramai tahun ini. Gaya peribadinya yang elegan, unik dan berkarakter menjadikan beliau menonjol sama ada di karpet merah, set penggambaran mahupun di media sosial.
“Aura Daiyan bukan hanya datang dari pakaian, tetapi dari cara dia membawa dirinya,” komen salah seorang peminat di media sosial. Sentimen itu jelas mencerminkan bagaimana Daiyan berjaya menjadikan fesyen sebagai satu bentuk ekspresi diri yang tulus dan bermakna.

Bagi Daiyan, bergaya tidak perlu mewah. “Tak perlu pun belanja mahal. Saya sendiri mula tanpa barangan berjenama, tapi saya belajar untuk kreatif dan kenal gaya sendiri,” katanya. Pendekatan minimalis tetapi tetap menyerlah inilah yang menjadikan Daiyan relevan dan dekat dengan generasi muda.
Minatnya terhadap fesyen juga bukan dibuat-buat. Dalam kesibukan jadual seni yang padat, Daiyan masih meluangkan masa memilih busana, menyusun aksesori dan mencipta penampilan tersendiri. “Saya minat untuk bersiap walaupun letih. Proses tu buat saya rasa tenang,” tambahnya lagi.
Namun Daiyan bukan sekadar ikon fesyen semata-mata. Lebih sedekad bergiat aktif dalam industri seni, beliau telah membuktikan kredibiliti sebagai pelakon dan penyanyi. Setiap karakter yang dihayati dan lagu yang dilantunkan hadir dengan sentuhan emosi yang menyentuh hati.
Di pentas AMT2025 yang mengangkat tema Sehebat Prestasi, Sehangat Sensasi dan Bakat Tersendiri, Daiyan Trisha muncul sebagai simbol keaslian, ketekunan dan keindahan dalam bergaya menjadikannya bukan sahaja selebriti terhangat tahun ini, tetapi juga figura seni yang serba boleh dan menginspirasikan ramai.
Comments