“Cinta Sejati” Jadi Lagu Wajib BCL di Konsert Eternal Love 27 September Ini!
- Ain Najihah
- 17 minutes ago
- 2 min read

Peminat muzik romantik bakal disajikan dengan sebuah malam penuh emosi dan kenangan apabila penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) tampil mengadakan konsert istimewa yang bertajuk BCL: Eternal Love - Timeless Romance pada 27 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Konsert yang dianjurkan oleh Pulse Project Asia ini dijangka menjadi pengalaman luar biasa, menyingkap perjalanan seni dan cinta BCL melalui deretan lagu-lagu ikoniknya yang sudah sebati dengan peminat di Malaysia dan Nusantara.
Antara perkara paling dinanti oleh peminat ialah lagu wajib yang akan dinyanyikan BCL pada malam istimewa itu.
Menurut Bunga Citra Lestari, lagu “Cinta Sejati” merupakan antara karya yang yang wajib dinyanyikan pada malam konsert tersebut.
Lagu ‘Cinta Sejati’ memang sangat menyentuh hati sesiapa saja yang mendengarnya. Walaupun setiap orang ada pengalaman hidup yang berbeza, kisah dalam lagu ini tetap mampu untuk menyentuh perasaan mereka,” ujarnya.
Tambahnya lagi, beliau turut mempertimbangkan untuk menyanyikan beberapa lagu yang jarang dibawakan sebelum ini, bagi memberi kelainan kepada konsert kali ini.
Selain “Cinta Sejati”, lagu-lagu popular lain seperti Cinta Pertama (Sunny), Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah dan single terbaharunya Memulai Kembali turut dimasukkan dalam senarai persembahan.
Konsert ini juga akan menampilkan Jaclyn Victor dan Dennis Lau sebagai penyanyi jemputan istimewa, yang dijangka memberikan gabungan emosi, vokal dan persembahan muzik yang memukau di pentas Eternal Love.
Menurut pihak penganjur, Pulse Project Asia, walaupun mereka merupakan syarikat baharu dalam arena penganjuran acara, pasukan di belakangnya terdiri daripada individu berpengalaman luas.
Mereka menyifatkan konsert ini sebagai “hadiah eksklusif” buat peminat BCL yang mahukan suasana persembahan berbeza dari konsert-konsert terdahulu.
Menurut Muhammad Anuar Zaini dari Pulse Project Asia, penganjuran ini umpama membawa BCL pulang ke “rumah keduanya”, Malaysia yang sentiasa menyambut kehadiran beliau dengan penuh kasih.
“BCL bukan asing di Malaysia. Kedatangannya sentiasa disambut hangat," ujar beliau.
BCL sendiri menyifatkan konsert ini sebagai detik bermakna untuk kembali berbagi kasih sayang dengan peminat Malaysia yang tidak pernah lelah menyokongnya selama ini.
Comments