top of page

Chelot Cipta Rekod Malaysia Dengan Babak Aksi ‘Single Take’ Terpanjang Dalam Filem

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 15 hours ago
  • 2 min read

Kalau sebut nama filem Chelot, ramai peminat filem tempatan pasti mula tertanya-tanya apa yang sedang dirancang oleh pengarah terkenal Adrian Teh kali ini. Sebelum pun ditayangkan di pawagam, filem aksi tersebut sudah mencuri perhatian apabila berjaya menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records menerusi kategori Babak Aksi ‘Single Take’ Terpanjang Dalam Filem.



Bukan sesuatu yang biasa untuk industri perfileman Malaysia, babak aksi berkenaan dirakam menggunakan hanya satu kamera tanpa sebarang potongan sepanjang penggambaran. Lebih mengagumkan, adegan itu melibatkan laluan sejauh 1.9 kilometer dengan durasi selama 5 minit 19 saat.


Di sebalik kejayaan tersebut, proses pembikinannya bukanlah mudah. Difahamkan, seramai 300 kru produksi terlibat dalam menjayakan babak berkenaan. Persiapan pula mengambil masa sehingga 150 hari, manakala sesi raptai dijalankan selama 60 jam bagi memastikan setiap pergerakan berjalan lancar pada hari penggambaran.


Tidak cukup dengan itu, sebanyak 50 buah kereta prop turut digunakan untuk merealisasikan adegan aksi berskala besar tersebut. Semua elemen ini menunjukkan tahap komitmen tinggi yang diperlukan untuk menghasilkan satu babak yang bukan sahaja mencabar dari segi teknikal, malah memerlukan koordinasi yang sangat teliti.


Bagi yang mengikuti perjalanan karier Adrian Teh, beliau sememangnya dikenali menerusi filem-filem aksi berskala besar seperti PASKAL: The Movie dan MALBATT: Misi Bakara. Selepas beberapa tahun bereksperimen dengan pelbagai genre dan bentuk penceritaan, Chelot menjadi tanda kepulangannya ke dunia aksi dengan pendekatan yang lebih segar.


Menurut Adrian Teh, idea menghasilkan babak tanpa suntingan atau one shot, one take ini memerlukan perancangan selama berbulan-bulan sebelum ia berjaya direalisasikan. Baginya, pencapaian tersebut bukan kejayaan individu semata-mata, tetapi hasil usaha seluruh pasukan produksi yang turut mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.



Selain rekod yang berjaya dicipta, poster teaser pertama Chelot yang menampilkan Beto Kusyairy dan Shukri Yahya turut mula mencetuskan perbualan dalam kalangan peminat filem tempatan. Walaupun jalan cerita masih dirahsiakan, ramai sudah mula membuat pelbagai spekulasi tentang maksud sebenar di sebalik tajuk "Chelot".


Filem ini diterbitkan oleh ACT 2 Pictures bersama Golden Screen Cinemas (GSC), Astro Shaw, SunStrong Entertainment dan Marvelous Culture & Film. Dengan pencapaian yang telah direkodkan sebelum tayangan rasmi, Chelot kini muncul sebagai antara filem Malaysia yang paling dinantikan tahun ini.


Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan "Chelot"? Nampaknya peminat perlu bersabar sedikit lagi kerana segala persoalan itu dijangka terjawab apabila filem ini menemui penonton di pawagam pada Ogos nanti.


Bagi kaki wayang tempatan, satu perkara yang pasti, Chelot bukan sekadar hadir sebagai sebuah filem aksi biasa, tetapi membawa bersama satu pencapaian yang sudah pun mencipta sejarah dalam industri perfileman Malaysia.

Comments


bottom of page