top of page

Cahaya Anak Lorong: Kisah Guru & ‘Anak Lorong’ Yang Buat Kita Fikir Dua Kali

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Kalau anda rasa drama tempatan dah boleh dijangka, Cahaya Anak Lorong mungkin boleh ubah persepsi tu. Drama terbaru slot Samarinda TV3 ini bukan sekadar kisah cikgu dan pelajar, tapi lebih kepada realiti kehidupan remaja terpinggir yang jarang kita betul-betul faham.


Menariknya, kali ini Izzue Islam bawakan watak Cikgu Amir iaitu seorang guru yang bukan datang dengan niat nak ‘selamatkan dunia’, tapi sekadar nak lepas diri dari tempat dia dihantar mengajar.


Dipindahkan ke Sekolah Bimbingan Kasih (SBK), Cikgu Amir berdepan pelajar yang hidup ‘ikut cara sendiri’. Nama pun ‘anak lorong’, hidup mereka jauh dari norma, mencuri untuk survive, memberontak dan tak percaya pada sistem.


Antara pelajar yang mencuri perhatian termasuk Sofea lakonan Ranea Ezreen, Bad oleh Fariz Isqandar dan Mok yang dilakonkan Azrell Iskandar. Setiap karakter ada latar belakang sendiri bukan sekadar ‘budak jahat’, tapi mangsa keadaan.


Dalam masa sama, ancaman lebih besar muncul melalui watak Hakimi (lakonan Areef Amran), yang mengambil kesempatan terhadap remaja jalanan untuk dijadikan keldai dadah. Dari sini, konflik mula jadi semakin berat dan realistik.


Apa yang buat cerita ini lain sikit, Cikgu Amir sendiri bukan watak sempurna. Dia datang dengan ego, cepat melabel, dan sebenarnya nak lari dari tanggungjawab. Tapi bila dia mula ‘masuk frekuensi’ pelajar-pelajar ini, perspektif dia perlahan-lahan berubah.


Lebih menarik, dia diberi syarat: pastikan pelajar lulus ujian 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Nampak mudah, tapi dalam dunia mereka, itu satu cabaran besar.


Drama arahan Pali Yahya ini hanya ada 13 episod, tapi setiap episod dijangka padat dengan emosi, konflik dan realiti kehidupan kota yang dekat dengan kita, cuma kita jarang pandang.


Kalau anda suka cerita yang bukan sekadar hiburan tapi ada ‘isi’, ini memang antara yang patut masuk watchlist. Cahaya Anak Lorong mula bersiaran 7 Mei 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3 atau boleh strim awal di Tonton.


Akhir kata, kadang-kadang bukan semua orang perlukan hukuman, ada yang cuma perlukan seseorang untuk faham.

Comments


bottom of page