top of page

Bukan Sekadar Lagu, ‘Layar Boneka’ Adalah Seruan Jiwa

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • Jul 4
  • 1 min read

Dalam arus muzik moden yang semakin rancak, dua nama berbeza latar namun sejiwa dalam karya Halim dan Kmy Kmo bergabung tenaga menerusi sebuah single baharu berjudul “Layar Boneka”.


Lagu yang dicipta oleh Kmy Kmo dan HMstatenine ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi hadir dengan mesej sosial yang tajam dan menyentuh jiwa.


“Kami mahu bersuara, bukan sekadar mahu menyanyi,” ujar Halim dan Kmy Kmo, menyatakan hasrat mereka yang ingin mencetus perubahan menerusi karya.


Kmy Kmo, rapper yang sinonim dengan lirik-lirik padat dan bermakna, berbeza tetapi saling melengkapi dengan Halim iaitu seorang penyanyi yang terkenal dengan ekspresi bebas.


Menurut Halim, perkenalan mereka bermula di set penggambaran program Astro Oasis Manhajj Mutawiff, yang diterbitkan oleh syarikatnya sendiri. 


“Saya memang minat muzik yang dibawakan oleh Kmy. Dia ada elemen muzik nusantara yang saya suka. Walaupun saya gemar pelbagai genre seperti Slow Rock, Pop Balada dan Hip Hop, saya lebih cenderung kepada muzik Hip Hop,” jelas Halim.


Lagu Layar Boneka membawa tema perjuangan emosi, keberanian, harga diri dan semangat untuk bangkit selepas terjatuh.


Ia mengangkat suara mereka yang selama ini membisu akibat tohmahan dan fitnah, lalu menjadikan setiap dugaan sebagai batu loncatan untuk terus melangkah ke hadapan.

Kmy Kmo turut memuji Halim sebagai rakan duet yang berbakat dan memiliki suara unik yang sesuai dengan genre rock Melayu.


 “Dia sangat ikhlas untuk belajar, berani mencabar diri, dan itulah yang menjadikan kolaborasi ini sangat istimewa,” ujar Kmy.


Single Layar Boneka kini boleh didapati di semua platform digital, manakala video muziknya turut tersedia di saluran YouTube rasmi Luncai Emas yang bertindak sebagai pengedar digital bagi lagu ini.


Commentaires


bottom of page