Dia Bukan Syurga, Papar Realiti Rumah Tangga
- Ain Najihah
- 4 days ago
- 2 min read

Astro sekali lagi tampil dengan sebuah karya dramatik yang menyentuh emosi dan relevan dengan realiti masyarakat hari ini. Mulai 19 Mei 2025, para penonton bakal disajikan dengan Dia Bukan Syurga, sebuah drama penuh konflik percintaan yang mengetengahkan isu hubungan toksik dan perjuangan seorang wanita dalam mencari jati diri.
Drama ini dibintangi oleh tiga nama besar industri iaitu Ezzany Jasny, Niezam Zaidi dan Nazim Othman . Dia Bukan Syurga menjanjikan lakonan yang penuh emosi dan berkesan.
Drama ini merupakan adaptasi daripada novel popular karya Rissa Ahdiya, yang pernah mencipta fenomena menerusi Andai Tiada Dia. Drama yang hadir dengan 32 episod ini merupakan arahan daripada Rashid Sibir dan diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd.
Dia Bukan Syurga bakal diserikan lagi dengan nyanyian daripada penyanyi dan pelakon berbakat, Amira Othman yang bertajuk “Dalam Sujudku”.
Dia Bukan Syurga membawa penonton menyelami kisah Nuha (Ezzany Jasny), seorang wanita penyayang yang mengimpikan kebahagiaan rumah tangga bersama suaminya, Tajul (Niezam Zaidi). Namun, perkahwinan yang diharapkan menjadi penjara emosi apabila Tajul menunjukkan sisi toksik.
Ketika Nuha hampir kehilangan harapan, hadirnya Arham (Nazim Othman), abang ipar yang prihatin dan jujur membawa cahaya dalam gelita. Hal ini membuatkan Nuha terpaksa membuat keputusan besar sama ada terus reda dalam penderitaan atau bangkit mencari semula dirinya yang hilang.
Menurut Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Ria, Dia Bukan Syurga bukan sekadar drama hiburan semata-mata. Ia sarat dengan mesej sosial penting iaitu tentang kepekaan terhadap hubungan toksik dan pentingnya memilih pasangan dengan bijak.
“Kami percaya sesebuah drama itu mampu menjadi platform penyampaian mesej bermakna kepada masyarakat, dan Dia Bukan Syurga adalah contoh terbaik kerana ia mengangkat suara wanita, realiti rumah tangga dan keberanian untuk berubah demi kebaikan diri,” ujar beliau.
Kekuatan skrip yang padu, arahan yang berkesan dan lakonan penuh emosi menjadikan Dia Bukan Syurga sebuah drama yang dijangka mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Lebih daripada sekadar hiburan, drama ini turut menyampaikan mesej bermakna tentang pentingnya mempertahankan maruah diri, kejujuran dalam perhubungan serta keberanian untuk memilih jalan yang lebih baik walaupun penuh cabaran.
Jangan lupa untuk menyaksikan Dia Bukan Syurga bermula 19 Mei ini, setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam hanya di Astro Ria. Saksikan sendiri bagaimana kekuatan seorang wanita mampu mengubah takdir hidupnya.
Comments