Bridgerton Kembali Dengan Musim Keempat, Kisah Cinta Benedict Jadi Tumpuan
- Atiqah Halim

- 5 hours ago
- 2 min read

Siri drama popular Netflix, Bridgerton, sah akan kembali dengan musim keempat dan kali ini fokus utama diberikan kepada watak Benedict Bridgerton. Selepas tiga musim yang penuh dengan kisah cinta, skandal elit masyarakat London dan drama keluarga Bridgerton, musim terbaru ini dijangka membawa nafas berbeza dengan jalan cerita yang lebih romantik dan emosional.
Musim keempat Bridgerton diinspirasikan daripada novel ketiga karya Julia Quinn berjudul An Offer From A Gentleman. Jalan cerita tertumpu kepada Benedict, anak kedua keluarga Bridgerton yang terkenal dengan jiwa seni dan personaliti bebas. Watak ini akhirnya bakal menerima giliran untuk berada di tengah pentas selepas sekian lama menjadi pemerhati dalam kisah cinta adik beradiknya.

Kisah cinta Benedict akan memperkenalkan Sophie Baek, seorang wanita misteri yang ditemuinya di sebuah majlis masquerade eksklusif. Pertemuan singkat itu menjadi detik yang mengubah hidup Benedict apabila dia jatuh cinta pada pandangan pertama. Namun seperti kisah Cinderella versi dunia aristokrat, hubungan mereka tidak semudah yang disangka kerana perbezaan status sosial dan rahsia masa lalu Sophie.
Netflix turut mengesahkan musim keempat ini akan mengekalkan elemen klasik Bridgerton seperti visual mewah, kostum ikonik serta drama cinta yang penuh konflik. Dalam masa yang sama, peminat boleh menjangkakan perkembangan watak yang lebih mendalam, terutama Benedict yang sebelum ini sering digambarkan sebagai karakter bebas tanpa arah tuju yang jelas.

Walaupun tarikh tayangan rasmi belum diumumkan secara terperinci, Bridgerton Musim 4 disahkan akan menemui penonton pada tahun 2026. Seperti musim sebelum ini, siri ini dijangka mencetuskan semula fenomena global dengan perbincangan hangat di media sosial sebaik sahaja ia ditayangkan.
Dengan fokus baharu, kisah cinta ala dongeng dan drama kelas atasan yang menjadi identiti siri ini, Bridgerton Musim 4 jelas antara naskhah paling dinanti peminat setia Netflix. Kalau ikut rekod musim lepas, satu benda je boleh dijangka. Timeline bakal penuh spoiler.









Comments