top of page

Borak SeeNI Turun Chow Kit Bantu Asnaf dan Gelandangan Sempena Ramadan

  • kaypohmedia
  • 4 hours ago
  • 1 min read

Program Borak SeeNI sekali lagi mencuri perhatian apabila turun padang membantu asnaf dan gelandangan di Chow Kit sempena bulan Ramadan. Melalui inisiatif Bantu SeeNI, pasukan produksi program bual bicara ini berganding bahu dengan Yayasan JCorp untuk mengagihkan makanan berbuka puasa kepada golongan yang memerlukan.

Ramadan memang sinonim dengan amalan berkongsi rezeki. Jadi tidak hairanlah apabila program ini diteruskan untuk tahun kedua sebagai usaha kecil tetapi bermakna kepada komuniti setempat. Kali ini, kru Borak SeeNI bersama kakitangan Yayasan JCorp meluangkan masa berbuka puasa bersama golongan asnaf dan gelandangan di kawasan sekitar Chow Kit.


Suasana berbuka puasa berlangsung cukup sederhana tetapi penuh keakraban. Mereka menikmati juadah berbuka di bawah khemah yang disediakan, sebelum sama-sama menunaikan solat Maghrib di atas tikar yang dibentangkan.


Selain makanan berbuka puasa, Yayasan JCorp turut mengedarkan beg cenderahati yang mengandungi makanan kering dan care kit kepada penerima. Sumbangan ini disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Dato’ Mizan Yahya kepada golongan yang hadir.


Dalam masa sama, Yayasan JCorp juga menyerahkan sumbangan tunai kepada Pertubuhan Jejak Jalanan yang diwakili aktivis Mohd Azhan Mohd Adnan, atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae. Aktivis ini sudah aktif turun padang membantu komuniti gelandangan sejak tahun 2021 lagi.


Program Bantu SeeNI turut dihadiri oleh Naib Presiden Pembangunan Komersial, Perniagaan Digital Astro, Datin Norashikin Habibur Rahman. Turut memeriahkan program ialah pengacara Borak SeeNI, Nazrief Nazri dan Muhsin Nadzli, yang berpeluang berinteraksi secara dekat dengan komuniti yang disantuni.


Inisiatif seperti ini mungkin nampak sederhana, tetapi impaknya cukup besar buat mereka yang memerlukan. Dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan, usaha seperti Bantu SeeNI mengingatkan kita bahawa berkongsi rezeki sebenarnya boleh bermula dengan langkah kecil.

Comments


bottom of page