Boleh Saya Bantu? 2: Andi Bernadee Kembali Sebagai Duda 'Kacau', Lebih Lucu & Dramatik!
- kaypohmedia
- Aug 7
- 2 min read

Boleh Saya Bantu? 2 kembali menemui penonton dengan musim baharu yang lebih mencuit hati, lebih dramatik dan semestinya lebih ‘kacau’! Drama bersiri arahan Shuhaimi Lua ini mula mencuri perhatian sejak musim pertamanya dan atas permintaan ramai, ia kini bersiaran semula bermula 8 Ogos 2025 setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam di slot Lestary TV3.
Musim kedua kali ini menyaksikan barisan pelakon utama seperti Andi Bernadee, Riena Diana, Mark Adam, Wanie Ooi dan Nasz Sally kembali memeriahkan skrin, bersama watak baharu yang dibawakan oleh Aliff Hadi serta penampilan istimewa selebriti tanah air seperti Fizo Omar, Khatijah Tan, Ropie, Joey Daud dan ramai lagi.

Andi Bernadee sekali lagi memegang watak utama sebagai Nasar, seorang duda yang sedang bergelut menguruskan Love Wave Hotel milik Tuan Joe yang hampir bankrap. Namun hidupnya tidak semudah itu apabila turut terperangkap dalam cinta tiga segi antara Farida (Riena Diana) dan Haiza (Wanie Ooi), sambil berdepan trauma penceraian dengan bekas isteri, Jannah.
Menurut Andi, membawakan watak Nasar merupakan cabaran besar kerana beliau sendiri belum pernah berkahwin. “Saya banyak berbual dengan kawan-kawan yang pernah bercerai untuk faham tekanan emosi seorang lelaki. Ada yang struggle, ada yang reda. Ayat paling kuat saya pegang ‘life must go on’,” ujar penyanyi dan pelakon berbakat besar itu.

Tidak sekadar kisah cinta, drama Boleh Saya Bantu? 2 turut menyentuh isu-isu sosial dan realiti pekerja industri perhotelan daripada penderaan emosi dalam perhubungan, wanita berkerjaya yang menanggung lelaki pemalas, hingga kepada konflik kosmetik berbahaya yang menyentuh wanita moden hari ini.
“Watak Farida kali ini lebih kuat dan penuh emosi. Ada babak yang sangat menyentuh tentang penderaan mental dan cabaran wanita bekerjaya. Saya yakin ramai wanita akan rasa dekat dengan isu-isu ini,” kata Riena Diana, pelakon watak Farida.

Di sebalik unsur komedi dan romantik yang segar, penonton juga akan dikejutkan dengan elemen misteri seperti kemunculan bomoh moden, panggilan pelik, tetamu mencurigakan dan sebuah wasiat mengejutkan yang bakal mengubah takdir cinta Farida.
Adakah Nasar akan mampu menguruskan hotel dalam kekacauan emosi peribadinya? Dan apakah rahsia sebenar di sebalik wasiat itu?
Jangan lupa saksikan Boleh Saya Bantu? 2, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam di TV3. Siap sedia untuk ketawa, tersentuh dan ‘dikacau’ emosi!
Comments