BLACKPINK ‘Deadline’ Debut No.8 Billboard 200, Comeback Lepas 3 Tahun
- Tasnim Ahmad
- Mar 9
- 1 min read
Selepas lebih tiga tahun menunggu, album Deadline daripada BLACKPINK akhirnya mencipta impak di carta global apabila debut di tangga ke-8 Billboard 200. Comeback penuh kumpulan K-pop popular ini nampaknya terus mendapat perhatian peminat di seluruh dunia.

Menurut laporan Billboard, EP ketiga kumpulan itu berjaya meraih sekitar 52,000 unit album setara pada minggu pertama pelancarannya di Amerika Syarikat. Angka ini termasuk jualan album fizikal, penstriman serta pembelian lagu secara digital.
Menariknya, daripada jumlah tersebut, sekitar 41,000 unit datang daripada jualan album fizikal sahaja. Ini menunjukkan peminat setia BLACKPINK masih gemar mengumpul album fizikal. Ianya sesuatu yang memang sinonim dengan budaya peminat K-pop.
Deadline juga menjadi projek kumpulan pertama BLACKPINK selepas lebih tiga tahun lima bulan sejak pelancaran album studio kedua mereka, Born Pink pada tahun 2022.
Sepanjang tempoh tersebut, setiap ahli kumpulan sibuk dengan projek solo masing-masing. Jadi tak hairanlah bila comeback ini diumumkan, hype daripada peminat global memang terus meletup.
Walaupun persaingan carta agak sengit minggu ini, BLACKPINK masih berjaya menempatkan diri dalam kelompok Top 10. Untuk rekod, tangga pertama carta minggu ini dikuasai oleh album The Romantic daripada Bruno Mars.
Debut Top 10 di Billboard 200 sekali lagi membuktikan bahawa pengaruh BLACKPINK dalam industri muzik global masih sangat kuat. Walaupun jarang muncul dengan projek kumpulan, setiap kali mereka kembali, impaknya memang gempak.
Bagi peminat setia BLINK, Deadline bukan sekadar album baru tapi ia adalah tanda bahawa era kumpulan BLACKPINK masih jauh daripada berakhir.



Comments