top of page

Bila Cinta Menjadi Dosa: Sarimah Gugat Keluarga Zamarul?

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Drama Bila Cinta Menjadi Dosa terus jadi bualan kaki drama tempatan sejak sinopsisnya didedahkan. Nama besar macam Che Puan Sarimah Ibrahim dan Zamarul Hisham pun sudah cukup buat peminat TV3 pasang ‘alert’. Tapi yang paling buat orang kaypoh? Watak wanita misteri yang didakwa ada hubungan sulit dengan suami orang. Eh, panas!


Bakal bersiaran mulai 27 Februari 2026, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di slot Lestary TV3, drama 30 episod arahan Shuhaimi Lua ini tampil dengan tema berat tentang cinta, maruah dan kuasa dalam sebuah keluarga elit.


Kisahnya bermula apabila Zhafran (Zairi Aziz) pulang ke tanah air selepas sekian lama membawa diri. Kepulangannya disambut oleh bapanya, Dato’ Yusof (Zamarul Hisham) dan ibunya, Datin Kalsom (Maria Farida). Nampak macam reunion keluarga biasa, tapi sebenarnya ada bara yang dah lama terpendam.


Kemunculan Eva (Che Puan Sarimah Ibrahim) jadi titik tolak kekecohan. Dia mendakwa mempunyai hubungan sulit dengan Dato’ Yusof. Dari situ, kepercayaan mula retak. Nama baik keluarga yang selama ini dijaga rapi mula goyah.


Dalam masa sama, Nurul Yasmeen (Alya Iman), bekas kekasih Zhafran, muncul kembali sebagai setiausaha kepada Dato’ Yusof. Bayangkan bekas kekasih kerja bawah ayah sendiri. Memang resipi drama paling ‘trigger’.


Watak Dato’ Yusof pula digambarkan sebagai lelaki berpengaruh yang percaya kawalan adalah kunci kestabilan. Tapi bila rahsia mula terbongkar, dia terpaksa berdepan akibat keputusan silam. Soalan paling besar, dia nak pertahankan keluarga atau kedudukan?

Barisan pelakon lain seperti Nelissa Nizam, Elizad Sharifuddin dan Maria Farida menambah warna dalam konflik keluarga ini. Setiap watak ada rahsia, ada luka, dan ada agenda tersendiri.


Apa yang menarik, drama ini bukan sekadar kisah cinta tiga segi. Ia menyentuh soal reputasi, pengorbanan dan bagaimana satu keputusan boleh runtuhkan seluruh institusi keluarga. Realitinya? Isu macam ini bukan asing dalam masyarakat kita.


Untuk penonton Malaysia yang memang gemar drama penuh emosi dan konflik dalaman, ini memang ‘makanan ruji’. Kalau anda jenis suka cerita keluarga kaya yang penuh rahsia, plot twist dan konfrontasi berapi, mungkin ini drama wajib tonton minggu ini.


Boleh tonton di TV3 atau strim lebih awal di Tonton. Jadi, soalnya sekarang, betul ke cinta itu yang jadi dosa, atau manusia yang tak pandai jaga batas?


Comments


bottom of page