Astro Originals - Bad Cop: Adaptasi Siri Jerman Dengan Sentuhan Tempatan
- kaypohmedia
- Jul 28
- 2 min read
Astro Originals sekali lagi meneroka dunia penceritaan penuh aksi dan emosi menerusi siri terbaharu mereka, Bad Cop, sebuah drama premium adaptasi daripada siri popular Jerman tahun 2017 dengan judul yang sama. Siri ini menampilkan gandingan pertama kali Aiman Hakim Ridza dan Siti Saleha dalam dunia kepolisan, serta penampilan istimewa pelakon-pelakon popular tanah air sebagai watak undangan dalam setiap episod.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Bad Cop merangkap Ketua Astro Shaw, penerbitan siri ini adalah lanjutan daripada kejayaan siri Liar yang pernah memenangi Anugerah Adaptasi Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2023.
“Kami berbesar hati dapat mempersembahkan siri premium adaptasi daripada siri popular Jerman tahun 2017, Bad Cop. Ini susulan selepas kejayaan menerbitkan Liar, iaitu adaptasi drama UK dan telah memenangi anugerah Adaptasi Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2023,” jelas beliau.

Siri ini mengisahkan Emir Khalid, seorang penjenayah yang menjadi buruan mafia dadah, Tony Redza. Pada malam serbuan dadah, Emir bertembung secara tidak sengaja dengan kembarnya yang telah lama terpisah, Imar seorang inspektor polis. Pertemuan penuh kejutan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Imar ditembak ketika pergelutan dengan ketua pengedar dadah. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Imar menyerahkan kad kuasanya kepada Emir dan meminta Emir menunaikan satu janji: lindungi keluarganya.
Dalam usaha melarikan diri dan menunaikan janji tersebut, Emir terpaksa mengambil alih identiti abangnya sebagai seorang polis. Namun, dia segera menyedari bahawa kehidupan Imar tidak semudah yang disangka berdepan keluarga yang porak-peranda dan perkahwinan yang di ambang kehancuran, lebih mencabar apabila isterinya sendiri, Hana, merupakan Ketua Polis yang lantang dan berdisiplin.
Setiap episod Bad Cop mengetengahkan satu kes baharu yang mencabar, menguji keberanian Emir yang terpaksa berpura-pura sebagai pegawai polis sambil mengelak kecurigaan daripada rakan setugas. Dalam tekanan yang semakin memuncak, Emir bukan sahaja belajar memahami dunia yang selama ini cuba dielakkannya, malah menemui potensi sebenar dalam dirinya sebagai anggota polis dan sebagai seorang insan yang lebih baik.
Bad Cop digerakkan oleh showrunner Kavivarmen Vigneswaran, bakat kreatif Astro Shaw yang sebelum ini turut terlibat dalam penulisan One Cent Thief 2 dan filem pendek The Dying Artist yang pernah tercalon di Anugerah Filem Digital Malaysia. Turut menguatkan barisan produksi ialah Jason Chong, pengarah berpengalaman yang kembali selepas kejayaan Liar.
Siri ini bukan sekadar drama kepolisan biasa, tetapi turut menggabungkan elemen psikologi, sosial dan sedikit humor, menjadikannya lebih berlapis dan segar untuk tontonan penonton tempatan. Bad Cop membawa perspektif baharu dalam genre drama jenayah Malaysia.
Saksikan bagaimana Aiman Hakim dan Siti Saleha membawa dimensi baharu dalam dunia kepolisan Malaysia, hanya di Astro Originals!

















Comments