Astro Shaw Umum Deretan Filem Baharu 2025 Termasuk ‘Abah Saya Uncle Mike’, ‘Wantugo’ dan ‘Papa Zola The Movie’
- kaypohmedia
- 4 days ago
- 2 min read
Astro Shaw kembali menghangatkan dunia perfileman tempatan dengan tujuh filem baharu untuk tahun 2025 yang menjanjikan kepelbagaian genre, naratif yang berani serta barisan pelakon berbakat besar. Antara yang menjadi perhatian ialah filem menyentuh hati ‘Abah Saya Uncle Mike’, filem aksi ‘Legasi Wira Merah’, seram 80-an ‘Malam Terlarang’ dan filem battle royale pertama Malaysia, ‘Wantugo’.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan bahawa usaha ini adalah manifestasi kepercayaan mereka bahawa kisah-kisah berani dan berbeza wajar diketengahkan. "Kami berbangga untuk menyokong filem-filem yang berani mengambil risiko kreatif dan mencerminkan kepelbagaian suara rakyat Malaysia," katanya.
Berikut antara filem utama yang bakal menemui penonton bermula suku ketiga hingga akhir tahun ini:
1. Abah Saya Uncle Mike
Filem berinspirasikan kisah benar tentang seorang lelaki Cina yang membesarkan tiga anak Melayu yatim piatu. Dibintangi Andy Teh, Idan Aedan dan Chew Kin Wah, naskhah arahan Ezrie Ghazali ini dijangka menjadi filem patriotik yang menyentuh hati sempena bulan kemerdekaan.
2. Wantugo
Genre battle royale pertama dalam sejarah filem Malaysia! Dibintangi Zul Ariffin, Meerqeen, Daiyan Trisha dan ramai lagi, Wantugo membawa penonton ke dunia permainan maut yang mendebarkan. Filem ini diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad (Labu).
3. Malam Terlarang
Filem seram yang berlatar 1987 ini mengisahkan ritual dan kepercayaan mistik tempatan. Gandingan Zul Ariffin, Shasha Abedul dan Sofia Jane dijangka memberi elemen seram klasik yang mengujakan.
4. Legasi Wira Merah
Filem aksi tentang keberanian pasukan bomba dalam menyelamatkan nyawa semasa tragedi kebakaran pencakar langit. Diterajui Ben Amir dan Nas Muammar Zar, filem ini menampilkan aksi mendebarkan serta nilai kemanusiaan mendalam.
5. Papa Zola The Movie
Kolaborasi dengan Monsta ini membawa watak animasi Papa Zola ke layar lebar dalam versi muda dan penuh aksi. Teaser treler mencatat lebih dua juta tontonan dalam masa 24 jam, jelas sekali peminat tak sabar menontonnya Disember nanti!
6. Magik Rompak
Filem rompakan dengan elemen silap mata ini disutradarai Adrian Teh, menampilkan Sharnaaz Ahmad dan Zul Ariffin. Misi untuk mencuri rantai berlian lagenda ‘Hati Kesuma’ menjadi lebih rumit apabila pengkhianatan dan ketamakan muncul.
7. 3 Hajat
Sebuah filem drama penuh emosi lakonan Eman Manan dan Amerul Affendi, tentang usaha terakhir seorang bekas banduan untuk berdamai dengan anaknya. Arahannya digalas oleh Zul Huzaimy.
Astro Shaw turut menjalin kerjasama strategik dengan penerbit besar seperti Monsta, Infinitus Gold, Multimedia Entertainment, GSC, dan ramai lagi untuk merealisasikan kisah-kisah berani ini.
Dengan pelbagai genre dan suara penceritaan, jelas Astro Shaw bertekad menjadikan tahun 2025 sebagai tahun kebangkitan sinema Malaysia.
Comments