Ariana Grande Kembali Gegar Pentas Menerusi Eternal Sunshine Tour
- Tasnim Ahmad
- 3 hours ago
- 2 min read
Selepas lebih enam tahun menyepi daripada jelajah konsert berskala besar, Ariana Grande kembali dengan Eternal Sunshine Tour, sekali gus mengubat rindu jutaan peminat di seluruh dunia. Konsert pembukaan yang berlangsung di Oakland Arena, California pada Sabtu menjadi detik yang cukup dinanti-nantikan sejak penyanyi pop itu menamatkan jelajah terakhirnya pada penghujung tahun 2019.

Kemunculan semula Ariana disambut meriah oleh para peminat yang sudah lama menunggu peluang melihatnya kembali beraksi secara langsung di pentas. Malah, suasana di arena turut dipenuhi sorakan apabila penyanyi berusia 33 tahun itu membuka persembahan dengan rangkaian lagu daripada album terbaharunya, Eternal Sunshine.
Menariknya, album tersebut menjadi fokus utama konsert apabila sebanyak 11 lagu dipersembahkan sepanjang malam. Ia sekali gus menjadikan Eternal Sunshine sebagai segmen terbesar dalam setlist yang mengandungi 23 buah lagu keseluruhannya.
Bukan itu sahaja, Ariana turut menghadiahkan peminat dengan deretan lagu popular yang pernah mendominasi carta muzik antarabangsa. Antaranya termasuk lagu daripada album Positions, Thank U, Next, Dangerous Woman dan My Everything. Turut mencuri perhatian ialah persembahan single baharu berjudul Hate That I Made You Love Me yang bakal dimuatkan dalam album akan datang, Petal.
Dari segi produksi pula, penyanyi itu masih mengekalkan standard tinggi yang menjadi identitinya. Setiap segmen konsert dipadankan dengan visual kreatif yang diinspirasikan daripada filem Eternal Sunshine of the Spotless Mind. Paparan video khas ketika pertukaran kostum membantu menghubungkan perjalanan emosi dalam album tersebut dengan keseluruhan naratif persembahan.
Selain penggunaan pentas utama, Ariana turut memanfaatkan pentas tengah arena bagi memberi pengalaman lebih dekat kepada peminat. Elemen ini menjadikan suasana konsert lebih interaktif dan membolehkan penonton menikmati persembahan dari pelbagai sudut.
Kemuncak malam tentunya ketika lagu Supernatural dipersembahkan. Ariana mencipta momen dramatik apabila beliau diangkat ke dalam struktur lampu berbentuk UFO yang tergantung di udara, sekali gus menutup malam pembukaan dengan penuh gaya dan visual yang memukau.
Setakat ini, Eternal Sunshine Tour dijadualkan berlangsung di 11 bandar utama merangkumi Amerika Utara dan United Kingdom sebelum melabuhkan tirainya di London pada September nanti. Tidak mengejutkan apabila permintaan tiket dilaporkan sangat tinggi, malah kebanyakan tiket premium habis dijual dalam tempoh yang singkat.
Bagi peminat muzik pop, kemunculan semula Ariana Grande ini membuktikan bahawa namanya masih kekal relevan dan mempunyai pengaruh besar dalam industri hiburan global. Dengan gabungan lagu hit, visual kreatif dan produksi bertaraf antarabangsa, tidak hairanlah Eternal Sunshine Tour menjadi antara jelajah konsert paling hangat diperkatakan tahun ini.





Comments