top of page

Anugerah Melodi Terhangat 2025 Kembali Gegarkan Dunia Hiburan!

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 2 days ago
  • 2 min read

Updated: 16 hours ago

Selepas hampir sedekad menyepi, TV3 dan Tonton dengan bangganya mengumumkan kemunculan semula Anugerah Melodi, kini berwajah baharu sebagai Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025)!


Acara yang sinonim dengan dunia hiburan tanah air ini bakal menggamatkan industri dengan budaya pop digital yang lebih segar, berani dan semestinya paling hangat.


Bersandarkan legasi program Melodi yang telah mengisi slot hiburan sejak 1993, AMT 2025 hadir bukan sekadar sebagai acara anugerah, tetapi simbol kebangkitan dan transformasi hiburan moden Malaysia. 


Kali ini, bukan hanya selebriti yang diraikan, tetapi juga figura yang mencipta momen tular dan memberi impak besar dalam dunia digital.


Menurut Pengurus Besar Kandungan Program TV3, Puan Marlia Zul Amran, Anugerah Melodi Terhangat 2025 bukan sekadar penghargaan tetapi ia adalah revolusi hiburan.


“Kami bukan sahaja meraikan selebriti tetapi kami juga meraikan naratif, kisah, dan semangat yang dibawa oleh mereka yang benar-benar mencetus gelombang. Ini adalah anugerah untuk mereka yang bukan sahaja trending, tetapi juga menyentuh hati rakyat," katanya.


Malam kemuncak AMT 2025 akan berlangsung pada 3 Ogos 2025, jam 9 malam, disiarkan secara langsung di TV3 dan Tonton.


Acara Karpet Merah pula akan berlangsung bermula jam 8 malam di TikTok Melodi Berapi dan saluran rasmi TV3 Malaysia.


AMT 2025 akan dibawakan oleh pasangan pengacara serasi Ain Edruce dan Dikry Ibrahim. Acara ini dijangka akan sarat dengan kejutan, gaya penuh berani dan pengiktirafan ikonik.


Sementara itu, segmen karpet merah akan dipanaskan oleh duo bertenaga Fiz Frizzy dan Imran Aqil.


AMT 2025 menampilkan 11 kategori anugerah utama yang dipilih berdasarkan pencapaian, pengaruh digital dan momen tular sepanjang tahun:


  1. Selebriti Drama Sangat Terhangat

  2. Tonton Original Terhangat

  3. Selebriti Ikon Terhangat (Dikuasai oleh Samsung Galaxy)

  4. Selebriti Couple Goals Terhangat

  5. Selebriti Maskulin Terhangat

  6. Selebriti Feminin Terhangat

  7. Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat

  8. Selebriti Trending Terhangat

  9. Selebriti Stailo Terhangat

  10. Selebriti Newcomer Terhangat


Anugerah Pilihan PROTON X50 Superstar turut diperkenalkan sebagai salah satu kategori istimewa yang meraikan selebriti pilihan peminat berdasarkan populariti dan pengaruh mereka sepanjang tahun.


Acara ini akan menutup tirai dengan Ultimate Award AMT 2025, iaitu penghormatan tertinggi buat selebriti yang meninggalkan impak positif paling besar sepanjang tahun.


Buat julung kalinya, AMT 2025 menyerahkan kuasa pemilihan sepenuhnya kepada rakyat Malaysia melalui undian awam 100%. 


Undian dibuka hingga 31 Julai 2025 di laman rasmi: https://www.tonton.com.my/anugerahmeloditerhangat


Bagi yang belum memiliki akaun Tonton, pendaftaran sebagai pengguna perlu dilakukan terlebih dahulu.


Seterusnya, langganan pelan TontonUP akan membuka akses untuk proses pengundian, di mana langganan selama sebulan melayakkan pengguna menerima 500 undian, manakala langganan tiga bulan pula memberikan sebanyak 2,500 undian.


Menariknya, pengundi boleh membuat undian setiap hari dalam semua kategori yang dipertandingkan. Namun begitu, hanya pelanggan pelan TontonUP sahaja yang layak untuk mengambil bahagian dalam proses undian ini.


Anugerah Melodi Terhangat 2025 bukan sekadar acara hiburan, tetapi platform penghormatan dan pengiktirafan kepada bintang-bintang yang benar-benar meninggalkan kesan dalam industri hiburan Malaysia.


Jangan lepaskan peluang untuk menyokong calon kegemaran anda dan undilah sekarang.


Ayuh cipta sejarah bersama AMT 2025!

Comentarios


bottom of page